2,303 kes cubaan bunuh diri

2,303 kes cubaan bunuh diri

Kes cubaan bunuh diri yang diterima dan dirawat di hospital kerajaan dipercayai melibatkan isu-isu seperti tekanan, kebimbangan, kemurungan dan keletihan me­lampau. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 2,303 kes cubaan bunuh diri yang dikaitkan dengan masalah mental dilaporkan sejak tahun 2020 hingga Jun lalu

Kes yang diterima dan dirawat di hospital kerajaan itu dipercayai melibatkan isu-isu seperti tekanan, kebimbangan, kemurungan dan keletihan me­lampau.

Malah, trend bunuh diri dalam laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan 81 peratus atau 1,142 kes pada 2021 berbanding 631 kes pada 2020, menunjukkan situasi membimbangkan serta memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikongsikan kepada Utusan Malaysia, cubaan kes bunuh diri yang mendapat rawatan pa­ling tinggi ialah pada 2020 iaitu 1,146 kes.

Bagaimanapun kadar itu me­nurun pada tahun 2021 dengan 1,036 kes manakala data terkini tahun ini sejak Januari sehingga Jun lalu merekodkan sebanyak 121 kes.

“Kes cubaan bunuh diri tergolong dalam kes kecemasan dan perlu mendapat rawatan segera.

“Kes-kes ini dirujuk terus ke Jabatan Kecemasan dan Trauma yang terdapat di semua hospi­tal KKM bagi penilaian dan seterusnya dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk rawatan dan intervensi lanjut,” katanya di sini semalam.

Laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 mendapati prevalen kemurungan dalam kalangan individu berumur 18 tahun ke atas adalah 2.3 peratus iaitu dianggarkan hampir 500,000.

KKM berkata, pihaknya mem­bangunkan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial pada 25 Mac 2020 iaitu ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sebagai memberi bantuan sokongan emosi dan psikososial kepada mereka yang terkesan menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental.

Katanya, talian berkenaan menerima 307,673 aduan sejak dilancarkan sehingga 18 September lalu dan daripada jumlah ini 227,713 (74.3 peratus) panggilan diterima memerlukan sokongan emosi dan kaunseling disebabkan faktor pelbagai.

Antara punca panggilan dibuat adalah isu sosial seperti hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan; isu perhubungan atau rumah tangga seperti konflik keluarga dan masalah hubungan interpersonal atau mendapatkan maklumat tentang isu kesihatan.

Turut diterima isu berkaitan keganasan dan penderaan ka­nak-kanak, isu spritual dan ke­agamaan selain mendapatkan bantuan kewangan, keperluan dan bantuan asas.

KKM berkata, pelbagai tindakan proaktif diambil bagi menangani masalah kesihatan mental termasuk memperluaskan perkhidmatan kaunseling di peringkat kesihatan primer melalui penempatan 200 kaunselor secara kontrak (CFS).

Katanya, kaunselor kontrak ini yang dilanjutkan perkhidmatan sehingga 3 Ogos tahun depan ditempatkan di 138 Pejabat Kesihatan Daerah bagi memberikan perkhidmatan secara berjadual di 831 klinik kesihatan di seluruh negara.

“Program sokongan kesihatan mental dan psikososial (MHPSS) diperkukuhkan di peringkat komuniti selain Program Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial bagi membantu memberi sokongan emosi kepada masyarakat umum.

“Pasukan MHPSS terdiri daripada pakar-pakar perubatan (ke­sihatan awam, psikiatri, perubatan keluarga), pegawai perubatan, pegawai psikologi kaunseling (kaunselor), pegawai psikologi klinikal, paramedik, memberikan perkhidmatan saringan, bantuan awal psikologi (PFA), psikopendidikan, tele psikososial dan tele-kaunseling kepada orang awam dan petugas barisan hadapan yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×