KUALA LUMPUR: UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya semua pihak perlu merujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ketetapan PAU itu merangkumi keseluruhan negeri termasuk Selangor yang sebelum ini meminta kuasa autonomi diberikan sebagai usaha menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Setakat ini kami berpegang kepada keputusan perhimpunan agung Mac lalu. Keputusan itu adalah untuk keseluruhan dan tidak ada pengecualian. Keputusan itu belum diubah dan ia adalah keputusan tertinggi.
“Dalam perhimpunan itu tidak menyebut pengecualian di beberapa buah negeri,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, UMNO Selangor dilaporkan berharap pucuk pimpinan tertinggi parti itu memberi autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).
Bagi tujuan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerjasama antara UMNO dan Pas negeri disifatkan sangat baik dan dilihat lebih berkesan.
Begitu juga dengan beberapa buah negeri lain yang dilihat turut meneruskan kerjasama antara tiga parti termasuk Pulau Pinang.
Menerima
Ditanya keyakinan untuk menang di beberapa negeri khususnya di Selangor, Ahmad berkata, Melaka dan Johor menjadi contoh yang rakyat telah menerima kembali Barisan Nasional (BN).
“Jadi saya harap kemenangan itu boleh diberikan di Selangor serta beberapa buah negeri lain.
“Mengenai MN, kita tak sentuh langsung sewaktu Perhimpunan Mac lalu. Kita hanya berkata BN akan bergerak solo,” ujarnya.
Sementara itu di Johor Bahru, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, BN akan membuat penelitian sebelum menerima permohonan enam parti termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mahu menjadi parti komponen dalam gabungan tersebut.
Menurutnya, penilaian akan dibuat oleh Sekretariat BN selepas mendapat arahan daripada Dewan Tertinggi BN.
“Dewan Tertinggi BN telah mengeluarkan arahan kepada Sekretriat BN untuk berikan merit kepada parti-parti itu sebelum mẹmbuat pertimbangan untuk menerima atau menolak permohonan tersebut.
“Setakat ini belum ada apa-apa keputusan. Kita akan perhalusi satu persatu permohonan. Ini kerana keputusan yang hendak dibuat nanti mesti dilakukan secara konsensus membabitkan semua pihak atau parti komponen dalam BN,” kata beliau pada sidang akhbar sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras BN Johor di Bangunan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sibui semalam.
Ahad lalu, media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat enam parti memohon untuk menyertai BN.
Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, keputusan sama ada menerima atau menolak hanya akan dibuat pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN.- UTUSAN










