ARAU: Kegagalan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan memaksa mereka membentuk gabungan selepas larangan ahli Parlimen bertukar parti berkuat kuasa.
Sebagai contoh, jika Barisan Nasional (BN) tidak mendapat 112 kerusi Parlimen bagi membentuk majoriti mudah, mahu tidak mahu mereka perlu membentuk gabungan sama ada dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), parti-parti dari Sabah, Sarawak atau mana-mana parti politik lain untuk menubuhkan kerajaan.
PRU15 dijangka berlangsung sengit dengan semua parti politik bertanding mempunyai peluang menang sekali gus sukar untuk mereka mendapat majoriti mudah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, gabungan parti politik diperlukan untuk pembentukan kerajaan dan gabungan tersebut tidak boleh berubah apabila sudah berlaku pembentukan sesebuah kerajaan itu.
Katanya, hal demikian dibenarkan kerana pembentukan gabungan parti politik tersebut tidak melibatkan ahli Parlimen lompat parti.
Menurut beliau, sukar untuk mana-mana parti politik menang majoriti mudah dalam PRU15 dan perlu ada gabungan khususnya dengan parti-parti lain terutama dari Sabah dan Sarawak.
“Jika dahulu, majoriti parti-parti di Sarawak dan Sabah di bawah BN tapi sekarang mereka ada gabungan masing-masing. Meskipun BN dilihat mempunyai kelebihan tetapi mahu dapat majoriti agak sukar dan perlu bekerja lebih kuat.
“Kesimpulannya BN, PH atau PN memerlukan pembentukan gabungan parti politik bagi pembentukan sesebuah kerajaan selepas PRU15 nanti. PRU15 adalah sengit dan semua parti mempunyai peluang untuk menang.
“Kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, BN ada peluang besar untuk mendapat majoriti tapi sekiranya pertandingan satu lawan satu peluang BN untuk dapat majoriti mungkin sukar. Semua bergantung pada percaturan politik parti masing-masing khususnya selepas larangan ahli Parlimen bertukar parti berkuat kuasa,” katanya.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, buat pertama kali dalam sejarah politik negara, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti diluluskan dengan disokong oleh semua ahli Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat.
Kelulusan itu sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara luar yang telah menguatkuasakan undang-undang itu lebih awal bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana menjejaskan imbangan kuasa kerajaan dan parti-parti politik.
Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, sekurang-kurangnya 39 ahli Parlimen di negara ini melompat parti, malah membawa kepada ketidakstabilan politik yang turut menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam penggulungannya berkata, sebarang tindakan suatu parti politik termasuk keluar daripada suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai bertukar parti.
Sementara itu Rusdi berkata, Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti adalah sangat baik bagi menjamin kestabilan politik negara supaya sesebuah kerajaan tidak lagi tumbang seperti yang berlaku sebelum ini.
Katanya, apabila sesuatu kerajaan itu kukuh maka kestabilan politik juga berlaku sekali gus
memberi kesan positif kepada ekonomi negara di mana pelabur-pelabur luar kembali yakin untuk melabur.
“Ahli-ahli politik tidak boleh sewenang-wenangnya untuk lompat parti yang boleh mengkhianati mandat rakyat. Apabila ada akta ini, maka kepentingan peribadi ahli-ahli politik tidak akan berlaku lagi.
“Sebenarnya lompat parti boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan yang dibentuk secara sah daripada mandat rakyat. Ini yang berlaku kepada PH dan PN sehingga Perdana Menteri boleh bertukar-tukar,” katanya. – UTUSAN










