BUTTERWORTH: Sebuah syarikat kitar semula buangan terjadual didenda RM58,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana beroperasi tanpa lesen dan tanpa mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA).
Hakim Noor Aini Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas wakil syarikat tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
Berdasarkan kesalahan di bawah pertuduhan pertama iaitu beroperasi tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, syarikat terbabit didenda sebanyak RM8,000 manakala denda sebanyak RM50,000 dikenakan atas kesalahan di bawah pertuduhan kedua iaitu tidak mendapat kelulusan EIA.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa yang dilantik oleh JAS negeri.
Dalam pada itu, Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab dalam kenyataan di sini hari ini berkata, syarikat yang beroperasi di Bukit Minyak itu mempunyai lesen sebagai premis yang ditetapkan untuk memproses buangan terjadual.
Bagaimanapun, katanya, syarikat itu tidak mempunyai lesen dan kelulusan EIA bagi satu kawasan penstoran luar tapak di Permatang Pauh iaitu lokasi buangan terjadual itu.
“Semua premis atau lokasi yang digunakan untuk aktiviti melibatkan buangan terjadual termasuk penstoran perlu mendapatkan kelulusan EIA di bawah Seksyen 34A (6), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 terlebih dahulu.
“Kemudian, mereka seterusnya perlu memperoleh lesen di bawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sebelum boleh beroperasi,” katanya. –UTUSAN ONLINE










