PARLIMEN: Kos tinggi, pelaksanaan ART Putrajaya dibatalkan

PARLIMEN: Kos tinggi, pelaksanaan ART Putrajaya dibatalkan

PERBADANAN Putrajaya tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya susulan kos pelaksanaan yang terlalu tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak meneruskan cadangan pelaksanaan Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan di Putrajaya susulan kos pelaksanaan yang terlalu tinggi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.

“Kos ini di luar kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan.

“Atas dasar tersebut, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran bagi fasa seterusnya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung status terkini dan tarikh rasmi pengoperasian sistem ART di Putrajaya memandangkan fasa rintisan sudah dijalankan sebelum ini.

Bagaimanapun, Su Fui berkata, PPj sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan keperluan perancangan pengangkutan awam pada masa depan.

“Ia tertakluk kepada kemampuan kewangan dan kelulusan peruntukan khususnya bagi mencapai sasaran 70 peratus penggunaan mod pengangkutan awam,” katanya.

Menyentuh usaha mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya, Su Fui berkata, PPj melaksanakan langkah penambahbaikan termasuk penyediaan Bas NadiPutra di tujuh laluan yang beroperasi setiap hari.

Katanya, laluan itu menghubungkan kawasan perumahan, sekolah, pusat komersial, Terminal Putrajaya Sentral ke pejabat kerajaan dan sebaliknya.

“Kekerapan perjalanan pada waktu puncak (pagi dan petang) bagi Laluan P101 adalah setiap 10 minit manakala enam laluan lagi setiap 20 minit.

“Pengurusan trafik sedia ada melalui Putrajaya Control Centre (PCC) secara berpusat dan integrasi pengangkutan awam terkini seperti Demand Responsive Transit (DRT) dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan trafik di Putrajaya termasuk penyediaan Kajian Transport Masterplan dan Kajian Action Plan 2050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN