Status dua ADUN, Pulau Pinang perlu sidang DUN khas tergempar

Status dua ADUN, Pulau Pinang perlu sidang DUN khas tergempar

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang perlu mengadakan sidang khas tergempar bagi menentukan status kerusi dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang dipecat daripada parti itu.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, sidang DUN khas tergempar itu perlu diadakan untuk memutuskan perkara tersebut memandangkan soal Perlembagaan telah dirungkaikan dan harus dilaksanakan mengikut kehendak rakyat.

”Perlu ada sidang khas tergempar bagi DUN Pulau Pinang untuk menentukan nasib status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti.

”Ini berikutan keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada Rabu yang memihak kepada kesahihan perlembagaan undang-undang antilompat parti Pulau Pinang yang digubal pada 2012, sekali gus mengatasi keputusan Mahkamah Agung 1992 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Empat ADUN Bersatu Pulau Pinang sebelum ini memfailkan injunksi terhadap badan perundangan Pulau Pinang daripada meluluskan usul pengosongan kerusi masing-masing selepas mereka mengambil keputusan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Menurut Guan Eng, panel tujuh hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat telah membuat keputusan sebulat suara yang mana Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan mengikut Perlembagaan Persekutuan. 

”Sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melarang antilompat parti oleh ahli Parlimen individu diwartakan, Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah dan harus dikuatkuasakan.

”Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang dipinda pada 2012 memperuntukkan ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika setelah dipilih sebagai calon parti politik meletakkan jawatan atau dipecat atau berhenti menjadi ahli parti,” katanya.

Mengulas lanjut Guan Eng berkata,  Seksyen 14A tidak terpakai kepada dua ADUN Bersatu iaitu Khaliq Mehtab dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) kerana mereka telah bertanding sebagai ahli Bersatu walaupun menggunakan logo PKR. 

”Bagaimanapun, dua bekas ADUN PKR iaitu Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) tersangkut dengan Seksyen 14A selepas mereka tidak lagi menjadi ahli PKR berikutan dipecat,” katanya.

Tambahnya, keputusan baharu Mahkamah Persekutuan itu disambut baik oleh semua yang ingin melihat politik negara dibersihkan daripada oportunis yang sanggup mengkhianati mandat yang diberikan pengundi dengan melompat ke parti politik lain demi jawatan dan kepentingan peribadi. 

”Rakyat Pulau Pinang ingin melihat pelaksanaan bersejarah pengisytiharan dua kerusi PKR ini dikosongkan dengan menguatkuasakan pindaan perlembagaan Pulau Pinang 2012 bagi menyaksikan hancurnya katak politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya