SEREMBAN: Penduduk di Taman Desa Kasia, Nilai di sini menggesa pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyelesaikan segera isu penurapan jalan utama di kawasan perumahan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Kasia, Omarruddin Ibrahim berkata, pihak kontraktor masih gagal mengikut jadual kerja seperti mana yang dijanjikan sehingga menyebabkan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf itu masih belum dapat disiapkan.
Katanya, walaupun pelbagai aduan dan pertemuan rasmi telah dilakukan sejak penghujung tahun lalu, jalan di kawasan itu masih berlubang dan tidak diturap dengan baik.
“Kami sudah melalui semua prosedur yang sah aduan, mesyuarat, surat rasmi namun kami hanya diberi harapan palsu.
“Kami tidak boleh terus berdiam. Jika jalan ini terus dibiarkan, ia akan menyebabkan kemalangan, kerosakan kenderaan dan menjejaskan nilai hartanah penduduk. Kami mahu tindakan bukannya lagi alasan,” katanya kepada pemberita.
Pada 1 Disember tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan pembangunan tidak menepati perancangan asal termasuk pembinaan pangsapuri dibimbangi bakal memberi pelbagai masalah dan kesan buruk kepada penduduk di Taman Desa Kasia, Nilai.
Omarruddin dalam pada itu berkata, aduan rasmi telah dihantar kepada pihak MBS melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 31 Disember tahun lalu dan diikuti dengan pertemuan bersama wakil MBS pada 17 Januari lalu.
“Dalam mesyuarat tersebut, pihak MBS memberikan jaminan bahawa kerja-kerja penurapan akan diselesaikan dalam tempoh sebulan. Namun begitu, janji tersebut sehingga kini masih belum ditepati.
“PPDK juga telah menghantar pengesahan bertulis terhadap hasil mesyuarat itu pada 4 Februari lau dan melakukan tindakan susulan rasmi pada 8 Julai lalu untuk mendapatkan perkembangan terkini.
“Namun jawapan yang diterima terus samar, tanpa sebarang tindakan konkrit di lapangan. Setakat ini, hanya dua kali kerja tampalan (patching) dilakukan, yang tidak menyelesaikan masalah asas jalan berlubang dan tidak rata,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J. Arul Kumar berkata, beliau telah mengarahkan MBS untuk mengambil tindakan segera berhubung isu tersebut.
“Sepatutnya isu ini adalah dibawah tanggungjawab pemaju bagaimanapun MBS akan mengambil peranan melaksanakannya (pembaikan, penurapan jalan) dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN










