Siri plat RAP bakal dibuka bidaan selama seminggu   - Utusan Malaysia

Siri plat RAP bakal dibuka bidaan selama seminggu  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas mencatatkan bidaan besar menerusi siri plat pendaftaran RAJ pada tahun lalu, kini, Perlis sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara dengan siri plat RAP pula.

Malah, hantaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui laman sosialnya hari ini mengenai tawaran huruf baharu itu turut tular diperkatakan ramai.

Mereka ternyata begitu teruja kerana kombinasi tiga huruf itu selain menyerupai sejenis irama muzik pantas, ia juga boleh memberi perkataan lain jika digabungkan dengan angka tertentu.

Paling popular, ada pengguna media sosial menerusi komen secara sindiran berkata RAP171 dijangka dapat permintaan tinggi kerana bunyinya menyamai nama seorang pemimpin politik.

Tidak kurang juga ada yang memberi komen bahawa kombinasi plat RAP7021 akan ada bidaan terbesar sebab bunyi huruf dan nombor itu menyerupai jenama trak pacuan empat roda lasak yang terkenal.

Tidak ketinggalan ada warganet yang dalam nada sinis membayangkan siri plat tersebut bakal menjadi rebutan kumpulan rap tempatan dan antarabangsa untuk imej kenderaan mereka.

Berdasarkan hantaran JPJ, bidaan siri tersebut akan dibuka bermula 17 Ogos depan sebelum ditutup pada pukul 10 malam pada 21 Ogos dengan keputusan diumumkan keesokan harinya.

Peminat dari seluruh negara boleh melakukan proses pembidaan itu secara elektronik sepenuhnya menerusi pautan laman sesawang rasmi agensi berkenaan iaitu https://jpjebid.jpj.gov.my.

Siri plat Perlis itu pernah menjadi fokus pada 24 Februari 2021 apabila RAJ melakar rekod bidaan negeri tersebut iaitu RM3.48 juta dengan plat RAJ 1 dibida sebanyak RM202,670.

Bagaimanapun, sebelum itu, JPJ negeri berkenaan pernah mencatatkan keseluruhan bidaan berjumlah RM12.2 juta untuk siri huruf RR pada 2017 dengan plat RR 6 bernilai RM459,800.

Ia juga mengatasi rekod tertinggi bidaan terdahulu pada awal tahun berkenaan untuk siri RM yang keseluruhan sebanyak lebih RM7 juta dengan paling mahal plat RM8 dibida RM297,000.

Plat RR dan RM bahkan menjadi tajuk berita utama media kerana kombinasi dua huruf itu menyerupai jenama kereta mewah terkenal dan akronim untuk mata wang Ringgit Malaysia.

Ketika ini, siri plat semasa Perlis ialah RAM dan negeri berkenaan mula memakai huruf R sejak 1948 bagi mengelak kekeliruan huruf P digunakan pemilik kenderaan darat di Pulau Pinang.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya