Sangkar ikan disewa warga Kemboja - Utusan Malaysia

Sangkar ikan disewa warga Kemboja

SANGKAR ternakan ikan patin yang diusahakan warga Kemboja di Sungai Perak ketika tinjauan di Parit, baru-baru ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sangkar-sangkar ternakan ikan yang diusahakan oleh warga Kemboja di Parit di sini mungkin berdaftar atas nama penternak tempatan tetapi disewakan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, maklumat itu berdasarkan siasatan Cawangan Pembangunan Akuakultur Jabatan Perikanan negeri dan Pejabat Perikanan Daerah Perak Tengah susulan laporan akhbar ini mengenai penternak ikan dalam sangkar warga Kemboja di Parit.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal dianggarkan sebanyak empat lokasi penternakan ikan dalam sangkar diusahakan oleh warga asing di Parit melibatkan sejumlah keseluruhan lebih kurang 100 unit petak sangkar.

“Berikutan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah akan menjalankan program Bancian Ternakan Ikan Sangkar di sepanjang Sungai Perak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja dan Bota.

“Ini untuk mengenal pasti status kebenaran Lesen Menduduki Sementara (TOL) semua projek ternakan ikan untuk tindakan penguatkuasaan selanjutnya.

“Jabatan Perikanan negeri juga juga dalam usaha untuk mewartakan Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Perak.

“Pewartaan ini supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan ke atas penternak yang menternak ikan tanpa kebenaran dan mengabaikan Amalan Akuakultur Baik dalam menjalankan aktiviti akuakultur di negeri Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengenai persaingan harga jualan ikan yang dipasarkan oleh penternak warga asing yang lebih rendah berbanding harga jualan oleh ikan penternak tempatan, Razman berkata, ikan yang diternak oleh warga asing boleh dipasarkan pada harga yang lebih rendah adalah disebabkan penggunaan perut ayam sebagai sumber makanan utama ikan yang diternak.

Katanya, umum mengetahui perut ayam boleh didapati pada harga yang murah dan seterusnya mengurangkan kos operasi ternakan ikan dan menyebabkan mereka mampu untuk menawarkan harga jualan ikan yang lebih rendah.

Jelasnya, ini berbeza dengan penternak ikan tempatan yang menggunakan makanan rumusan atau pelet yang mempunyai harga yang lebih tinggi, namun, menjamin penghasilan ikan yang lebih berkualiti, bersih dan suci.

“Perut ayam boleh diperoleh dengan harga 80 sen sekilogram manakala harga pelet mencecah RM76 untuk pek bersaiz 20 kilogram atau RM3.80 sekilogram.

“Perbezaan harga sumber makanan yang ketara ini membolehkan penternak warga asing menjual ikan ternakan dengan harga sekitar RM10 atau RM11 sekilogram manakala penternak lain yang menggunakan makanan pelet ikan sepenuhnya perlu menjual hasil ternakan sekitar RM15 atau RM16 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, pemborong ikan lebih cenderung mendapatkan ikan dengan tawaran harga yang lebih murah.

Katanya, keadaan ini menjadikan penternak tempatan sukar bersaing dalam memasarkan hasil ternakan mereka walaupun kualiti ikan penternak tempatan lebih baik dari segi rasa dan tekstur.

“Penggunaan perut dan usus ayam tidak diproses sebagai bahan utama makanan menghasilkan ikan yang kurang kualiti dari segi tekstur dan rasa dimana isi ikan lembik, lebih berlemak dan berminyak apabila dimasak.

“Tambahan pula penggunaan perut dan usus ayam secara terus tanpa melalui proses pembersihan dan masak terlebih dahulu adalah diragui dari segi kebersihan kesuciannya.

“Amalan ini juga adalah diluar daripada yang disyorkan oleh Jabatan Perikanan yang menekankan Amalan Akuakultur Baik,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya