Sanggup berhenti kerja untuk Kedai Pink - Utusan Malaysia

Sanggup berhenti kerja untuk Kedai Pink

FARAH AKMAL MOHD. SARUAN menunjukkan minuman yang dijual di ‘Kedai Pink‘ di Kampung Parit Pinang Kanan, Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Keputusan meninggalkan jawatan sebagai Pegawai Kawalan Kualiti (QC) bukan sahaja berbaloi, malah kini 100 peratus kehidupan Farah Akmal Mohd, Saruan, 30.

Tindakan berani wanita berjiwa kental ini untuk menjadi peniaga, termasuk memasarkan jualan secara dalam talian sejak 2018 membuahkan pulangan lumayan.

Kini ‘Kedai Pink’ yang diusahakan Farah Akmal yang menjual pelbagai pencuci mulut, makanan, minuman selain menjadi vendor kepada pengusaha kecil mampu meraih jualan antara RM70,000 hingga RM90,000 sebulan.

Dia mengakui mengambil peluang daripada ‘kerancakan’ sektor pelancongan berasaskan agropelancongan seperti homestay, karavan, dusun buah-buahan mahupun warung kopi di Kampung Parit Pinang, Benut.

Peringkat awal perniagaan pada 2014, dia menjual pelbagai perisa makanan pencuci mulut berasaskan coklat secara dalam talian selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Teknologi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

“Selepas tamat pengajian, saya bertugas sebagai guru sementara dan pada masa yang sama terlibat dengan perniagaan menjual makanan secara dalam talian sebelum berhijrah ke Johor Bahru pada 2015.

“Walaupun telah mempunyai kerjaya ketika itu, namun perniagaan saya masih diteruskan sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan pada 2018 bagi memberikan tumpuan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Pinang Kanan, Benut, baru-baru ini.

Keputusannya berhenti turut mendapat restu daripada suami yang bertugas sebagai pegawai polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara.

Farah Akmal memberitahu, nama ‘Kedai Pink’ diberikan kerana gerai dan kabin yang digunakan dicat dengan warna tersebut dan turut dikenali dengan panggilan ‘Marsbarlicious’ mengambil gabungan perkataan ‘marsbar’ dan ‘delicious’

“Pada awalnya kami hanya menjual pencuci mulut berasaskan coklat selain pelbagai jenis minuman seperti biscoff, strawberi, choc chip, caramel coffee, cookies n cream, miloo biloo, green tea latte/matcha,” ujarnya.

Namun kini, turut menjual pelbagai jenis kek yang dihantar oleh peniaga luar serta menjadi vendor kepada pengusaha atau pengeluar makanan tradisional seperti nasi ambeng, nasi ayam penyek, laksa dan ubi rebus.

Sebagai vendor, dia hanya mengenakan sewa tapak sebanyak RM60 sebulan yang telah dapat membantu lebih ramai pengusaha, terutamanya golongan wanita meraih pendapatan sampingan.

Seiring dengan perkembangan pesat perniagaannya, Farah Akmal dibantu oleh empat pekerja yang terdiri daripada golongan belia dan beliawanis yang tinggal di kawasan sekitar Kampung Parit Pinang.

Dia mengakui kehadiran ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar Johor banyak membantu menjana pendapatan perniagaannya, selain penduduk tempatan terutamanya pada hujung minggu dan cuti persekolahan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.