PETALING JAYA: Rakyat Sabah perlu mengambil peluang di atas keretakan dan perpecahan politik peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus memperkasakan ‘patriotisme politik Sabah’, kata Datuk Seri Anifah Aman.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu berkata, bagi mencapai tujuan itu semua parti politik di Sabah harus meletakkan perpaduan rakyat Sabah sebagai keutamaan, melebihi agenda parti masing-masing, malah turut menegaskan bahawa peluang keemasan sebegini tidak boleh disia-siakan.
“Sekarang peluang kita. Apa yang berdiri di atas ideologi dan gabungan politik kita yang berbeza, adalah bertujuan menjaga dan mempromosikan cara kita orang Sabah yang meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Ini adalah jenama politik kami. Inilah budaya kita, tradisi kita. Ini adalah cara hidup kita sejak zaman nenek moyang kita.
“Walaupun berbeza politik, kami bertanggungjawab kepada setiap rakyat Sabah untuk memastikan negeri tercinta dan rakyat kita akan sentiasa menang tanpa mengira situasi politik di peringkat Persekutuan,” kata Anifah.
Beliau berkata demikian kepada sebuah akhbar, selepas mengacarakan majlis makan tengah hari di sini baru-baru ini. Acara tersebut turut disertai sembilan duta Arab yang merupakan rakannya semasa beliau menjadi Menteri Luar sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, Anifah berkata bahawa rakyat Sabah harus menuntut hak untuk mendapatkan geran khas berjumlah 40 peratus hasil bersih daripada Persekutuan, seperti yang termaktub dalam Jadual Ke-10 Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4, Fasal 2(1).
“Ya, sentiasa ada hujah yang mahukan parti Sabah memerintah negeri ini dan menolak parti dari Semenanjung atau Persekutuan. Tetapi saya rasa apa yang kita patut tanya ialah, apakah tindakan dan keputusan kita akan menjadikan kita, rakyat Sabah, sebagai pemenang.
“Kami cemburu dengan jiran Borneo kami di Sarawak. Kami mengagumi kekuatan politik dan perpaduan mereka. Kerana mereka sangat bersatu, mereka telah menjadi sebuah negeri yang makmur. Jadi, banyak yang boleh kita pelajari daripada mereka.
“Lagipun Sabah dan Sarawak terdiri daripada gabungan beberapa kumpulan peribumi yang berbeza, sesuatu yang kita sama-sama berkongsi,” katanya. –UTUSAN