Rakan sifatkan mangsa bunuh adalah lelaki baik, tiada musuh  - Utusan Malaysia

Rakan sifatkan mangsa bunuh adalah lelaki baik, tiada musuh 

NORMAWATI Jaafar menunjukkan gambar abangnya, Norzi yang ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di Kampung Merua, Parit hari ini. - UTUSAN/ MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Lelaki yang ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di Kampung Merua di sini hari ini adalah merupakan seorang yang baik hati  dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham, 53 berkata, mangsa, Norzi Jaafar, 58, merupakan seorang rakan sekampungnya dan sahabat yang sangat baik.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, rakannya itu tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Dia sahabat saya, seorang sahabat yang baik. Setahu saya dia tidak pernah bermusuh dengan sesiapa, malah, apabila ada kematian di kampung, dialah orang pertama menggali liang lahad,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian hari ini.

Hisham merupakan individu yang menemukan mayat mangsa yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah rumah ketika mahu meminjam pam racun daripada mangsa pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Mencerita detik dia menemukan mayat rakannya itu, Hisham berkata, ketika dia tiba di halaman rumah rakannya itu, dia ternampak mangsa terbaring di atas simen di luar rumah.

Katanya, dia menyangka rakannya itu rebah akibat penyakit asma dan dia segera turun dari motosikal lalu memanggil nama mangsa, namun tidak berbalas.

“Saya ternampak warna hitam yang banyak di sebelah mangsa, saya sangkakan itu tumpahan minyak hitam dan memanggil namanya sekali lagi, tetapi tiada jawapan.

“Apabila dekat dengannya, saya terlihat kesan luka di leher. Baru saya tahu warna hitam yang saya nampak itu adalah  darah dan ketika itu rakan saya itu sudah tidak bernyawa. Saya terus ke Balai Polis Parit menaiki motosikal bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Normawati Jaafar, 52, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang berlaku terhadap abangnya selepas kali terakhir mereka bertemu dua hari lalu di pekan Parit, selepas abangnya menggunting rambut.

“Biasanya, abang akan bermalam di rumah saya di Kampung Layang-Layang Kanan dan pulang ke rumahnya di Kampung Merua pada pukul 9 pagi.

“Sudah dua minggu abang tidak bermalam rumah saya kerana nak jaga kucing peliharaannya yang baru beranak.

“Apabila dapat panggilan mengatakan abang saya sudah meninggal dunia, saya terkejut lebih-lebih lagi mereka mengatakan dia dibunuh, abang sayang seorang yang baik,” katanya.

Terdahulu, mangsa ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh di hadapan sebuah rumah di Kampung Merua di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, motif pembunuhan masih lagi dalam siasatan.

Katanya, polis menolak kemungkinan rompakan memandangkan wang tunai mangsa tidak diusik selain keadaan rumah yang kemas dan teratur. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya