Rakan hanyut ketika memancing di Loji Semantan - Utusan Malaysia

Rakan hanyut ketika memancing di Loji Semantan

OPERASI pencarian mangsa yang hilang diteruskan sehingga dua kilometer daripada lokasi mangsa terjatuh sebelum hanyut di bawa arus deras di Loji Semantan, Kampung Lengkong di Karak, Pahang. -GAMBAR IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keseronokan dua sahabat memancing berhampiran Loji Semantan, Kampung Lengkong, Karak, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, Amiruddin Ashraf Mat Saman, 26, dipercayai lemas apabila terjatuh ke dalam air di loji itu dan dihanyutkan arus deras. 

Menurutnya, rakan mangsa, Yuhanif Abd. Mushalleh sempat diselamatkan anggota JBPM menggunakan tali penyelamat.

“Anggota dari Balai Bomba Karak tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.22 petang semalam.

“Hari ini, operasi pencarian sudah memasuki hari kedua dengan memberi fokus kepada pencarian mangsa yang hilang, Amiruddin Ashraf, bermula dari lokasi tempat mangsa terjatuh sehingga sejauh dua kilometer,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ismail berkata, operasi  menyelamat hari ini, membabitkan kekuatan 55 anggota termasuk pegawai daripada pelbagai agensi penyelamat.

Katanya lagi, operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), polis dari Balai Polis Karak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang awam.

“Dalam operasi ini, anggota penyelamat menggunakan empat bot fiber dan satu bot aluminium milik pasukan bomba dan juga orang kampung,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN