PRU15: UMNO Perlis gerak solo, sedia masuk `medan perang’ - Utusan Malaysia

PRU15: UMNO Perlis gerak solo, sedia masuk `medan perang’

AZLAN Man (tiga dari kanan) menyerahkan sijil kepada salah seorang peserta sewaktu Majlis Konvokesyen Program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Fasa 1-Kumpulan 1) & Program JomNiaga@NCER di Dewan Sivik Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: UMNO akan bergerak solo dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) berikutan Pas dilihat tidak mempunyai usaha bagi memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerjasama MN tidak boleh berlaku berikutan tiada  tindakan dilakukan bagi memperkukuhkan gabungan berkenaan berdasarkan dari pelbagai isyarat yang diterima dan analisa dilakukan sebelum ini.

Menurut beliau, kepimpinan tertinggi parti itu juga telah membuat keputusan jelas bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan MN dalam PRU15.

“Disebabkan itulah, pihak kepimpinan tertinggi parti putuskan agar tiada MN dan kita akan bertanding secara solo dalam PRU15,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Program empowerNCER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (Fasa 1-Kumpulan 1) & Program JomNiaga@NCER di sini hari ini. 

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, UMNO tidak memberi sebarang autonomi kepada kepimpinan negeri dan bahagian untuk bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebaliknya semua pihak perlu merujuk ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada Mac lalu.

Dalam pada itu, Azlan berkata, Barisan Nasional (BN) Perlis telah melakukan persediaan yang positif bagi menghadapi PRU15 dengan melakukan beberapa penambahbaikan seperti disarankan oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Buat masa ini, pelaksanaan bagi persediaan menghadapi PRU15  positif dan jika Parlimen dibubarkan, Perlis sangat bersedia untuk masuk ke medan perang,” katanya.

Mohamad baru-baru ini menyatakan jentera BN di sembilan negeri telah bersiap sedia bagi menghadapi PRU15 membabitkan Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan Pulau Pinang.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN