IPOH: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat merampas semula Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti tahun 2018 dan tahun 2008 menerusi gabungan parti-parti pembangkang di bawah PH.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, untuk itu DAP akan bekerja keras untuk mempertahankan semua 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRU14.
Menurut beliau, dalam masa sama, parti komponen PH yang lain juga perlu menang di kerusi yang ditandingi mereka.
“Dalam tiga pilihan raya umum lalu, PH mempunyai kekuatan sendiri dan kita berjaya membentuk kerajaan negeri pada tahun 2008 dan 2018.
“Sudah tentu Perak menjadi salah satu negeri yang menjadi fokus PH dan sudah tentu melihat kemungkian PH ada peluang untuk menang di Perak.
“Untuk itu, kita akan berusaha keras. Pertamanya, DAP mahu mempertahankan semua 18 kerusi yang kita menang pada PRU14, kita mesti menang semua kerusi itu.
“Rakan-rakan komponen juga perlu menang di kerusi yang mereka bertanding. Kalau mereka dapat mengulang kemenangan di kerusi-kerusi yang mereka menangi pada PRU14, kita sudah cukup untuk membentuk kerajaan negeri,” kata beliau selepas majlis makan malam DAP Perak menjelang PRU15 di sini semalam.
PH menerajui Perak selepas PRU14 pada 2018, namun tumbang pada Mac 2020 apabila empat ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar gabungan tersebut.
Anthony Loke berkata, PH juga berharap Perak akan menjadi antara negeri yang menyumbang kerusi untuk parti itu pada PRU15 dan DAP Perak dilihat antara negeri yang terkehadapan dalam membuat persiapan untuk menghadapi PRU15.
Mengenai persiapan DAP di seluruh negara, beliau berkata, kebanyakkan kerusi parti itu akan ditandingi oleh penyandang sedia ada bagi membolehkan penyandang bergerak di kawasan masing-masing sepanjang masa.
“Bermakna persiapan dari segi jentera dan kempen sudah lama berjalan dan kita bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi PRU15,” katanya. – UTUSAN