PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menjadi paling sengit dalam sejarah negara kerana setakat ini tidak ada parti politik yang dijangka mampu memperoleh undi majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan yang kukuh.
Malah, lanskap politik tanah air yang sentiasa berubah sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dan ketidaktentuan kerajaan sedia ada mendorong parti-parti mencari sekutu pada saat-saat akhir sebelum Parlimen dibubarkan.
Terbaharu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipercayai membincangkan kerjasama politik dan masa depan Muafakat Nasional (MN).
Malah, sebelum ini, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad turut membentuk gagasan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dianggotai tiga lagi parti yang mengesahkan bertanding pada PRU15.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan keadaan politik semasa, ramai yang meramalkan kemungkinan tiada mana-mana parti yang menang majoriti mudah secara solo, sebaliknya perlu mencari bantuan rakan gabungan.

Katanya, PRU15 menjadi medan buat semua parti politik mencari kemenangan memandangkan kerajaan sedia ada rapuh dan mempunyai majoriti tipis.
“Walaupun negara pernah melalui beberapa episod mencabar pada PRU10 tahun 1999 diikuti PRU12 dan PRU13, namun tidak setanding dengan kerancakan PRU15.
“Cabaran PRU bergantung kepada situasi politik ketika pilihan raya berlangsung dan jika kerajaan kuat seperti di zaman BN pada 2004 dahulu, maka situasinya tidak begitu rumit kerana parti yang lemah tentunya tidak berupaya mengalahkan parti pemerintah.
“Namun, apabila negara mempunyai sebuah kerajaan yang rapuh dan tidak kuat, saya menjangkakan aktiviti kempen akan menjadi lebih hebat, panas dan pasti banyak karenah daripada parti politik yang bertanding sebab masing-masing mahukan kemenangan serta yakin boleh menumbangkan lawan,” katanya di sini hari ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan yang kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri sudah membuat persediaan melaksanakan PRU15 sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa selaras tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jika berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, sejumlah 21.1 juta pemilih layak mengundi dengan jangkaan perbelanjaan mengurus pilihan raya lebih kurang RM1 bilion.
Sementara itu, Wan Ahmad berkata, cabaran PRU15 turut dipengaruhi oleh pertambahan jumlah pengundi baharu dalam kalangan belia.
Beliau berkata, berdasarkan kelaziman, pasti ada parti yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara dan isu itu diperbesarkan hingga menimbulkan ketegangan sekali gus memberi masalah bukan sahaja kepada SPR, malah pihak polis.
Katanya, perkara itu jelas dilihat dalam PRU10 apabila SPR terpaksa berdepan dengan kumpulan reformasi yang turun ke jalan raya dan mempertikaikan segala keputusan dibuat badan berkenaan.
Sementara itu, bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, Najib dan Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan baru-baru ini bagi membincangkan kerjasama politik antara kedua-dua parti itu.
Katanya, ia langkah terbaik untuk menghidupkan kembali MN.
“Terakhir saya dimaklumkan oleh beliau Setiausaha Agung Pas ,Takiyuddin Hassan, Abdul Hadi melawat Najib untuk berbincang (kerjasama), itu satu pendekatan baik.
“Cuma barang kali ucapan-ucapan yang perlu dihindarkan umpamanya setelah Presiden Pas bertemu dengan Najib.
“Seperti kata Zahid (Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), kalau nak berkawan kena guna bahasa berkawan, ertinya Pas sedang bergerak, Pas mahu bersama, UMNO tetap berhati-hati kerana melihat Pas lebih rapat dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kerana parti itu menyerang UMNO, ia menimbulkan keraguan di pihak UMNO,” katanya ketika ditemui di sini. – UTUSAN










