fbpx

Proses geologi berangkai punca tragedi di Baling

PEMANDANGAN dari udara keadaan terkini kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur buat kali kedua selepas bencana kepala air dan banjir buat kali pertama pada awal bulan lalu di Kampung Iboi. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

PUTRAJAYA: Hakisan hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak 2010 meningkatkan kadar hakisan di tanah tinggi hingga membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai sekali gus menjadi antara punca tragedi banjir di Baling, 20 Julai lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Rosli Isa berkata, ia antara punca disebabkan fenomena proses geologi berangkai yang menjadi punca kejadian tanah runtuh serentak secara meluas di terain perbukitan grant terluluh hawa akibat cetusan hujan lebat melampau dan diikuti pembentukan aliran pusing, banjir puing dan banjir lumpur. 

Malah, katanya, hakisan di hutan sekunder akibat penukaran guna tanah kepada hutan ladang sejak tahun 2010 meningkatkan kadar hakisan di kawasan tanah tinggi membawa kepada perlodakan dan mencetekkan sungai. 

“Keadaan ini diburukkan lagi apabila jambatan di Kampung Iboi menjadi ‘empangan sementara’ ketika banjir puing berlaku hingga menyebabkan banyak puing pasir dan kayu-kayan terkumpul lalu pecah dan menghasilkan kuasa damparan tinggi serta mengakibatkan kematian dan kemusnahan harta benda.

ROSLI Isa (empat dari kiri) menunjukkan laporan kajian bencana geologi banjir puing Sungai Kupang, Baling Kedah pada sesi taklimat berhubung laporan kajian bencana geologi banjir puing Sungai Kupang, Baling Kedah di Wisma Asli, Putrajaya. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Apabila bahan puing pasir dan kayu kayan sudah terdampar, banjir puing menjadi banjir lumpur yang menyebabkan kerosakan harta benda dan petempatan di hilirnya. Kolam takungan air, tandak dan kolam perangkap lodak di sepanjang alur sungai tidak memainkan peranan dalam bencana ini, sebaliknya menjadi mangsa kepada rempuhan aliran puing,” katanya sempena majlis taklimat Laporan Kajian Bencana Geologi Banjir Puing 2022 Sungai Kupang, Baling, Kedah di sini hari ini. 

Rosli berkata, pihaknya akan meminta kerajaan negeri Kedah untuk mengambil langkah sewajarnya sama ada mengekalkan ladang hutan atau dikembalikan menjadi hutan perlindungan. 

“Kami akan memberi laporan lengkap ini kepada kerajaan negeri untuk dinilai untuk tindakan sewajarnya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pasukan Khas Siasatan Bencana Tragedi Baling, Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, pihaknya menganggarkan sebanyak tujuh juta meter padu puing selepas terjadinya bencana ini.

“Apabila aliran puing surut dengan pantas hingga mengurangkan kuasa sekali gus meninggalkan sisa bongkah, puing dan pasir di hulu serta  sungai.

“Jumlah sisa tersangat banyak hinggakan jumlah yang di tinggalkan malah kita tidak sempat mengira di Bahagian atas,” katanya. –UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!