Tiga syarikat terlibat tipu bida projek kerajaan bernilai RM44 juta

Tiga syarikat terlibat tipu bida projek kerajaan bernilai RM44 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti sebanyak RM2.98 juta terhadap tiga syarikat kontraktor kerana terbabit dalam aktiviti kartel tipu bida membabitkan enam tender Perbadanan Putrajaya (PPj) bernilai lebih RM44 juta.

Tiga syarikat terbabit ialah Abadi Malaysia Sdn. Bhd., Kota Landskap Sdn. Bhd. dan Usia Maintenance Sdn. Bhd. yang didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) selepas terlibat dalam perjanjian secara sulit untuk memanipulasi keputusan bidaan antara tahun 2018 hingga 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, hasil penilaian awal pihaknya terhadap aduan yang diterima membawa kepada siasatan terhadap sembilan syarikat, sebelum tiga daripadanya dikenakan tindakan.

“MyCC menjalankan siasatan penuh termasuk serbuan ke atas premis, rakaman kenyataan daripada 24 individu, permintaan maklumat serta analisis dokumen berkaitan.

“Modus operandi kumpulan ini dikesan dilakukan secara terancang dengan penyelarasan utama oleh Abadi Malaysia.

“Mereka berkongsi maklumat tender melalui WhatsApp, emel dan mengadakan mesyuarat sulit,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Iskandar berkata, dokumen tender disediakan oleh pekerja daripada ketiga-tiga syarikat terbabit berada satu lokasi yang sama serta modus operandi membabitkan penglibatan terus seorang pengarah Abadi Malaysia dalam menyelaras usaha penipuan berkenaan.

Katanya, kartel tersebut memanipulasi bidaan bagi projek berkaitan penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, landskap serta kerja kejuruteraan awam di Putrajaya.

“Modus operandi itu digunakan oleh kumpulan kartel berkenaan dalam kesemua enam projek terbabit.

“MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap perusahaan terbabit pada 10 September 2024 dan menerima representasi balas pada 11 November 2024 dan 13 Mac 2025. Selepas penelitian terperinci, keputusan pelanggaran rasmi dikeluarkan semalam,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan tegas ini diambil bagi memastikan pasaran kekal bebas dan adil, sekali gus memberi isyarat jelas sebarang bentuk kerjasama antipersaingan tidak akan dikompromi.

“Tipuan bida bukan sekadar menjejaskan integriti pasaran tetapi turut merugikan agensi kerajaan dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN