Pinjaman rumah diluluskan meningkat - Utusan Malaysia

Pinjaman rumah diluluskan meningkat

rumah
JUMLAH pinjaman perumahan diluluskan meningkat untuk separuh pertama 2022 sekali gus memberi gambaran baik untuk prospek hartanah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah dalam separuh pertama tahun ini meningkat 18.9 peratus kepada RM93.9 bilion, sekali gus menunjukkan jualan yang lebih baik untuk pemaju hartanah.

Peningkatan itu turut dipacu jumlah pinjaman yang diluluskan pada Jun 2022 yang mencecah RM18.97 bilion, peningkatan sebanyak 45.3 peratus berbanding bulan sama tahun lalu selepas penurunan dua bulan berturut-turut pada April dan Mei.

Penganalisis MIDF Research, Jessica Low berkata, peratusan pinjaman yang diluluskan berbanding permohonan meningkat sedikit kepada 40.8 peratus pada Jun berbanding 38 peratus bulan sebelumnya, membayangkan bahawa keperluan bank bagi permohonan pinjaman hartanah masih lagi ketat.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah mencecah RM46.5 bilion pada Jun 2022. 

“Jumlah nilai permohonan pinjaman keseluruhan pada Jun 2022 adalah tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, mungkin kerana sentimen pembelian lebih baik dan permintaan terpendam selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi.

“Selain itu, kami merasakan kecairan lebih tinggi daripada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada April lalu membantu menyokong minat pembelian terhadap hartanah.

“Secara keseluruhan, jumlah pinjaman yang dimohon bagi pembelian hartanah adalah lebih tinggi pada RM238.3 bilion, meningkat 5.8 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Namun, Jessica berkata, langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 2.25 peratus pada 6 Julai lalu memberi sedikit impak negatif kepada pasaran hartanah kerana akan meningkatkan ansuran bulanan dan mengurangkan kemampuan pembeli rumah.

“Kami menganggarkan ansuran pinjaman rumah berharga RM500,000 akan meningkat tiga peratus bagi setiap kenaikan 25 mata asas OPR. Bagaimanapun, ia sebahagiannya akan diimbangi oleh insentif kerajaan bagi menyokong minat pembelian.

“Kerajaan baru-baru ini mengumumkan program i-Miliki yang menawarkan pengecualian duti setem 100 peratus kepada pemilik rumah kali pertama yang membeli hartanah berharga RM500,000 dan ke bawah.

“Secara keseluruhan, kami melihat normalisasi kadar faedah dengan jangkaan kenaikan OPR selanjutnya akan memberikan sedikit kesan kepada permintaan hartanah pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya