Kee Ming catat untung bersih RM6.08 juta pada suku keempat 2026

Kee Ming catat untung bersih RM6.08 juta pada suku keempat 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kee Ming Group Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM6.08 juta bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026, meningkat RM670,000 atau 12.4 peratus berbanding RM5.41 juta pada suku sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat RM1.77 juta atau 24.1 peratus kepada RM9.10 juta daripada RM7.33 juta pada suku ketiga.

Prestasi itu melengkapkan keputusan tahun penuh yang kukuh susulan penyenaraian syarikat di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 12 Februari 2026.

Pengarah Urusannya, Liew Kar Hoe berkata, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan keupayaan pelaksanaan projek kumpulan serta penglibatan lebih besar dalam projek perindustrian dan infrastruktur berskala besar.

“Kami berjaya meningkatkan keuntungan melalui campuran projek yang lebih baik, pengurusan kos berdisiplin serta sumbangan lebih kukuh daripada projek perindustrian yang mempunyai margin lebih tinggi.

“Ini dicapai meskipun sumbangan hasil lebih rendah pada suku berkenaan berbanding suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

Bagi suku dikaji, kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM41.85 juta dengan keuntungan kasar (GP) berjumlah RM14.62 juta, sekali gus mencatatkan margin GP sebanyak 34.9 peratus.

Segmen perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) terus menjadi penyumbang utama dengan menyumbang kira-kira 99.9 peratus daripada keseluruhan hasil kumpulan.

Sumbangan hasil itu sebahagian besarnya dipacu projek dalam sektor perindustrian dan komersial, dengan projek berkaitan perindustrian menyumbang kira-kira 79.1 peratus daripada hasil perkhidmatan kejuruteraan M&E bagi suku keempat tahun kewangan 2026.

Bagaimanapun, hasil bagi suku keempat tahun kewangan 2026 susut RM16.16 juta atau 27.9 peratus kepada RM41.85 juta berbanding RM58.02 juta pada suku sebelumnya berakhir 31 Disember 2025.

Penurunan itu disebabkan sumbangan lebih rendah daripada sektor komersial yang merekodkan RM4.31 juta pada suku keempat tahun kewangan 2026 berbanding RM24.89 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2026.

Menurut beliau, kumpulan kekal optimistik terhadap prospek pasaran perkhidmatan kejuruteraan M&E di Malaysia yang disokong pengembangan sektor perindustrian, pembangunan infrastruktur, peningkatan pelaburan pusat data serta peralihan tenaga boleh diperbaharui yang semakin pesat.

“Susulan penyenaraian yang berjaya, kami kini berada pada kedudukan kewangan lebih kukuh untuk melaksanakan projek lebih besar dan kompleks dari segi teknikal, di samping terus memperkukuh keupayaan operasi serta kehadiran pasaran,” katanya.

Sehingga 31 Mac 2026, jumlah buku pesanan tertunggak Kee Ming mencecah RM151.9 juta, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan bagi tahun kewangan 2027.

Kumpulan juga terus aktif menyertai tender melibatkan projek perindustrian, komersial, infrastruktur dan kemudahan interkoneksi bagi memperkukuh serta mengembangkan buku pesanannya pada masa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN