SEREMBAN: Ekoran tidak mengikut piawaian dalam pembinaan struktur tambahan yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT), sebanyak 25 pemilik rumah di Rumah Rakyat Batang Benar, Nilai di sini terpaksa menanggung akibatnya.
Ia selepas struktur tambahan yang dibina mereka di belakang rumah masing-masing itu terpaksa dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam tempoh segera selepas ia tidak lagi selamat untuk diduduki.
Keadaan tersebut terjadi apabila berlakunya pemendapan tanah dan runtuhan tebing yang berlaku di belakang rumah penduduk terlibat berpunca daripada hujan lebat, petang kelmarin.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, MBS sentiasa mengingatkan agar penduduk terutama yang mendiami rumah berhampiran kawasan cerun dan berbukit agar tidak sewenang-wenangnya menambah struktur tambahan di rumah mereka.
“Ia bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku. Apa yang kita lihat kukuh itu sebenarnya tidak dapat menampung struktur tambahan tersebut,” katanya ketika meninjau beberapa buah rumah yang terjejas dalam kejadian tebing runtuh di Rumah Rakyat Batang Benar, Nilai, semalam.
Utusan Online semalam melaporkan, sebanyak enam buah kediaman di Rumah Rakyat Batang Benar di sini rosak akibat kejadian tanah mendap dan tebing runtuh yang berlaku selepas hujan lebat, petang kelmarin.
Sementara itu, Masri menjelaskan, pihaknya akan mengadakan perbincangan segera dengan Pejabat Tanah dan Daerah Seremban bagi membolehkan kerja-kerja membaiki tebing yang runtuh dan meroboh struktur tambahan itu dilaksanakan segera.
“Kami akan berbincang dahulu dengan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Seremban bagi mendapat kelulusan untuk mengisytiharkan kawasan ini tidak selamat.
“Selepas itu, kami akan mula merobohkan struktur tambahan penduduk dan membuat dinding yang baharu di bahagian tebing bagi mengelakkan kejadian runtuhan berulang.
“Saya berharap penduduk yang terjejas ini dapat berhati-hati dan jika perlu berpindah ke kawasan selamat kerana keadaan cuaca hujan yang tidak menentu ketika ini boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya. –UTUSAN ONLINE