"Juga mengapa pilih Turkiye kerana kita tahu perolehan senjata

Pembelian meriam ATM dari Turkiye RM848 juta didakwa tanpa tender terbuka

NGA Kor Ming (tengah) menyampaikan sumbangan peralatan membuat kuih kepada Zaitun Ibrahim di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Belum pun reda isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS), terkini kerajaan didakwa meluluskan pembelian senjata meriam Howitzer dari Turkiye berharga RM848 juta untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara rundingan terus dan bukan melalui tender terbuka.

Ketua Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, dakwaan itu terkandung dalam satu surat bertarikh 21 April lalu dan mulai tular dalam media sosial.

Menurutnya, pembelian meriam untuk ATM secara rundingan terus itu didakwa mendapat sokongan Perdana Menteri yang memberikan kelulusan.

Katanya, selain pembelian tanpa tender terbuka, ada juga dakwaan pembelian secara rundingan terus itu ada campur tangan menteri bukan dari Kementerian Pertahanan.

“Ada dakwaan sebenarnya Kementerian Pertahanan meminta perolehan meriam itu dibuat secara tender terbuka tetapi ada menteri lain yang bukan menteri pertahanan menolak permintaan kementerian itu.

“Menteri itu over rule Kementerian Pertahanan dan menggunakan kuasanya untuk tender perolehan meriam itu dibuat secara rundingan terus.

“Saya rasa ini amat luar biasa kerana ini bidang kuasa Kementerian Pertahanan.

“Kenapa ada menteri lain yang bukan Menteri Pertahanan menggunakan kuasanya to over right Kementerian pertahanan, ini satu perkara yang amat serius, kerana ini bidang kuasa Kementerian Pertahanan, bukan bidang kuasa menteri lain.

“Untuk itu, saya serah kepada pihak berwajib untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam perkara itu, yang lain-lain kita tak boleh dedahkan dahulu, kita tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan peralatan membuat kuih kepada seorang wanita yang dilahirkan dengan hanya satu tangan dan tiada kedua-dua kaki, Zaitun Ibrahim, 35, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, perkara itu bertentangan dengan arahan Perbendaharaan Negara iaitu mana-mana kontrak kerajaan yang melebihi RM20,000 wajib dibuat tender.

Katanya, tetapi projek hampir RM900 juta bagi membeli meriam 155mm dari Turkiye itu dibuat tanpa tender.

“Juga mengapa pilih Turkiye kerana kita tahu perolehan senjata yang lebih canggih ada di negara seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Jerman dan Perancis yang juga lebih murah.

“Mesti ada justifikasi pembelian ini dibuat dari Turkiye dan kerajaan harus menjawab sama ada proses itu telus, bersih dan rakyat perlu tahu kebenaran,” katanya.

Menurutnya, sehubungan itu beliau sebagai Ketua Parlimen DAP meminta satu sidang khas Parlimen diadakan minggu depan untuk membincangkan mengenai kontrak tanpa tender terbuka pembelian meriam untuk ATM itu juga skandal berhubung pembinaan LCS.

“Kerajaan boleh mengadakan sidang Parlimen. Perdana Menteri boleh menggunakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat Parlimen dan sidang khas boleh dibuat dalam tempoh 48 jam, maka, minggu depan boleh panggil sidang khas untuk menjelaskan kepada rakyat apakah sebenarnya berlaku dalam kes pembelian meriam untuk ATM dari Turki ini,” katanya.

Kor Ming berkata, kerajaan perlu telus dan bertanggungjawab terhadap dakwaan itu kerana ia melibatkan keselamatan serta kedaulatan negara.

Katanya, perolehan senjata untuk pertahanan negara ini wajib diberikan secara profesional, kompetitif dan bersih.

“Kita dedahkan ini kerana skandal demi skandal berlaku. Dulu, kita beli kapal terbang, enjin pun hilang. Kerajaan beli helikopter dan sudah bayar tetapi bayang pun tak nampak, beli kapal selam tapi tak boleh menyelam, buat kapal perang dan duit sudah dibayar tapi bayang pun tak ada.

“Sekarang, beli meriam tak ada tender terbuka, saya rasa cukuplah, rakyat sudah marah, kita berhak untuk rasa marah kerana ini melibatkan keselamatan negara, perkara yang tidak boleh dibuat main-main,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN