JOHOR BAHRU: Prihatin nasib penghuni Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya yang kediaman mereka rosak dilanda ribut semalam, kerajaan negeri mengumumkan bantuan RM1,000 kepada setiap keluarga yang terkesan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan sumbangan itu semasa melawat mangsa ribut yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya.
Menurut beliau, peruntukan untuk membaik pulih bumbung membabitkan enam buah flat yang tercabut turut akan dilakukan dengan segera.
“Bagi keluarga yang kediaman rosak teruk, mereka akan ditempatkan sementara di kediaman lain yang akan diberitahu nanti,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 1 petang tersebut, bumbung enam blok Flat Ros Merah tercabut menyebabkan kebanyakan rumah penduduk di tingkat empat ‘banjir’ dipenuhi air hujan.
Setakat pukul 2 petang tadi, jumlah mangsa seramai 80 orang daripada 22 keluarga dipindahkan ke PPS terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Rumah Pangsa Ros Merah, Mohd. Fauzi Mokhtar, 57, bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib mereka.
Katanya, bantuan diberikan itu sedikit sebanyak mengurangkan beban selain mengubati kesedihan dialami keluarga yang terkesan.- UTUSAN