MAHA 2022: Rasai aiskrim, produk vanila di Pavilion Pahang -

MAHA 2022: Rasai aiskrim, produk vanila di Pavilion Pahang

PEMILIK Amani Vanilla Temerloh, Mohamad Feisal Mohamed Norawi menunjukkan aiskrim berasaskan vanilla yang dijual di Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini. -UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Pelopor industri vanila negara, Amani Vanilla Temerloh (AVT) menjadi antara daya tarikan utama di Pavilion Negeri Pahang sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022.

Pemilik AVT, Mohamad Feisal Mohamed Norawi, 40, berkata, antara produk yang dibawa pada pameran kali ini termasuklah ais krim buatan sendiri berperisa vanila, ekstrak, serbuk, penyembur bantal, buah vanila kering serta anak pokok.

“Pada pameran kali ini, para pengunjung berpeluang untuk merasai keenakan ais krim vanila jenama Bromella yang dibuat sendiri di kafe kami yang terletak di Temerloh, Pahang.

“Rasa ais krim ini memang tidak sama dengan perisa vanila di luar sana kerana ia menggunakan buah vanila sebenar dan dituai dari ladang yang kami usahakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Tambah Mohamad Feisal, penyembur bantal dengan haruman vanila, Teedolena merupakan produk baharu keluaran AVT yang perlu dicuba oleh pengunjung.

Jelasnya, Teedolena mampu membantu seseorang individu itu untuk mendapatkan tidur yang lebih lena dan tenang pada waktu malam.

“Kita turut menawarkan bengkel dan kursus penanaman pokok vanila bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tanaman berimpak tinggi itu.

“Sebanyak 6,900 pokok boleh dimuatkan di atas tanah berkeluasan satu ekar (0.404 hektar) jika ditanam menggunakan kaedah penanaman moden iaitu menggunakan tiang,” ujarnya.

Mohamad Feisal berkata, ketika ini AVT mengusahakan tanaman vanila di kawasan seluas kira-kira tiga ekar (1.214 hektar) bagi menampung permintaan beberapa jenis produk yang diusahakannya.

Menurutnya, ketika ini buah vanila kering dijual sekitar RM1,300 manakala buah vanila hijau pada harga RM120 hingga RM130 bergantung kepada harga pasaran.

“Vanila ini sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam pasaran dan saya berharap lebih ramai dapat meneroka mengenai penanamannya pada masa akan datang,” katanya.

Mohamad Feisal yang juga merupakan seorang bekas wartawan akhbar mula berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 2008 dan mula serius mengembangkan perniagaannya kira-kira lima tahun lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya