“Jadi, ini menunjukkan kejayaan kita dan penyumbang kepada itu

Lonjakan KDNK tepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan gagal

ISMAIL Sabri Yaakob berucap pada Konvensyen Wanita BN, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. -UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lonjakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 8.9 peratus pada suku kedua 2022 sekali gus menafikan dakwaan pembangkang kononnya kerajaan gagal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini kerana pengumuman Bank Negara itu menunjukkan ekonomi Malaysia berada pada prestasi terbaik berbanding negara-negara ASEAN yang lain. 

“Jadi, ini menunjukkan kejayaan kita dan penyumbang kepada itu adalah dasar monetari kita, kedua adalah apabila kita membuka sektor ekonomi serta sempadan negara.

“Saya juga memberi jaminan sebelum ini bahawa kita akan teruskan polisi hari ini walaupun kes naik, jadi, itu meningkatkan keyakinan pelabur.

“Jadi, kita harap perkara ini menyedarkan rakyat bahawa banyak fakta yang dikelirukan oleh pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media hari ini selepas berucap pada Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri dalam ucapannya juga menegaskan, prestasi KDNK itu adalah salah satu petunjuk penting menentukan ekonomi negara berada di landasan yang betul.

Selain itu, katanya, satu lagi petunjuk adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang mencatatkan angka rekod tertinggi pada Suku ke-4 2021 dengan RM26.7 bilion, disusuli dengan RM23.3 bilion pada Suku Pertama 2022 dan pengumuman terbaru kemasukan FDI pada Suku Kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion.

“Jumlah FDI selama sembilan bulan sahaja adalah sebanyak RM74.1 bilion. Dalam tempoh sembilan bulan ini saja kita sudah mengatasi jumlah FDI tahunan pada 2021, 2020, 2019 mahupun 2018.

“Maka, janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tidak minat lagi dengan Malaysia. Data menjadi saksi.

“Saya sendiri menjadi saksi dalam lawatan-lawatan ke luar negara. Ketika di Amerika Syarikat (AS) dan berpeluang berjumpa kapten perniagaan di sana, mereka masih berminat melabur di Malaysia, begitu juga di Jepun beberapa hari jumpa kapten industri juga berminat, begitu juga apabila syarikat asing bertemu dengan saya di sini,” katanya.

Beliau menambah, nilai jualan borong dan runcit juga mencatatkan prestasi terbaik sejak 2013 dengan data terkini RM132.8 bilion untuk Jun 2022. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya