GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai dalam keadaan mabuk sehingga mencederakan diri sendiri ditahan polis di sebuah rumah di Desa Indah, Persiaran Paya Terubong 2, Taman Sri Relau di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santung berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pukul 1.57 petang memaklumkan terdapat pergaduhan di kawasan perumahan itu.
”Bertindak atas maklumat tersebut, anggota ronda Balai Polis Sungai Nibong ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki warga asing dalam keadaan berikat dan berlumuran darah.
”Hasil temu bual awal anggota polis terhadap rakan serumah lelaki berkenaan memaklumkan rakan mereka itu berada dalam keadaan mabuk teruk dan hilang kawalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular video dalam media sosial yang memaparkan kejadian seorang individu dipercayai warga asing dalam keadaan mabuk mencederakan diri sendiri diberkas pihak polis di sebuah rumah.
Menurut Soffian, lelaki itu juga mencederakan diri sendiri dengan menghantuk kepala ke dinding sehingga mengalami kecederaan.
“Bagi mengelakkan lelaki ini terus bertindak agresif, rakan serumahnya mengikat lelaki ini dengan menggunakan tali.”
”Pihak polis cuba untuk menenangkannya serta menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan dan rawatan perubatan, dan dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, hasil pemeriksaan doktor mendapati lelaki itu mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tiada kecederaan lain.
”Dengan penjelasan ini, pihak polis menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi serta mensensasikan insiden tersebut.
”Pihak polis masih menyiasat kes ini dan meminta orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya. –UTUSAN ONLINE