PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti kepada projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad.
Rafizi mendakwa, siasatan dalaman projek LCS secara jelas menyebut isteri kepada Abd. Latiff dan ia dinyatakan pada muka surat 96 yang menyebut ‘Siasatan mengambil maklum bahawa Abd. Latiff adalah suami kepada individu berkenaan.
“Beliau (Abd. Latiff) adalah Timbalan Menteri Pertahanan bagi tempoh 2008 hingga 2013. Menteri Pertahanan ketika itu ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu Presiden UMNO sekarang
“Semasa skandal ini berlaku, beliau (Abd. latiff) yang juga Ahli Parlimen Mersing merupakan pemimpin UMNO sebelum menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Rafizi mendakwa, siasatan dalam LCS mengesahkan dua syarikat palsu menggunakan nama Alizes Marine sudah didaftarkan dengan nama Alizes Marine Limited berdaftar di Malta dan sebuah lagi syarikat, Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan.
“Kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (“offshore”) dan tidak boleh dijejaki. Kewujudan Alizes Marine Limited hanya diketahui apabila pangkalan data syarikat pesisir luar pantai dibocorkan pemberi maklumat sehingga menjadi skandal besar dunia (dikenali sebagai Panama Papers dan Paradise Papers).
“Semakan dengan pangkalan data Paradise Papers mengesahkan kewujudan syarikat Alizes Marine Limited dimiliki seorang wanita dan perkara itu boleh di rujuk di https://offshoreleaks.icij.org/nodes/55047357,” katanya.
Dakwa Rafizi, isteri Abdul Latif juga didakwa menjadi pemegang saham sebuah lagi syarikat pesisir luar pantai yang ditubuhkan di Malta bernama Intralogistics Limited dan syarikat berkenaan memegang saham di dalam Alizes Marine Labuan.
“Kertas siasatan dalaman skandal LCS menerangkan secara jelas penglibatan syarikat-syarikat Alizes Marine yang menyelewengkan dana kapal perang LCS. Ada beberapa bentuk penyelewengan berlaku termasuk syarikat berkenaan dilantik menjadi juru runding teknikal walaupun mereka tiada kepakaran kepada projek.
“Mereka (Alizes Marine) menghantar invois bagi kerja tidak dilaksanakan. Sebanyak RM23.37 juta diselewengkan menggunakan kaedah ini pada awal pelaksanaan projek sekitar 2011 hingga 2014.
“Kedua, Alizes Marine juga dilantik sebagai pembekal alat gantian bagi projek LCS dan lantikan itu berdasarkan maklumat palsu kononnya ia mempunyai lesen daripada Kerajaan Perancis untuk menjadi pengeksport global alat gantian pertahanan (sedangkan ia tidak mempunyai lesen itu).
“Projek LCS membayar sekitar RM210 juta bagi alat gantian yang kononnya dibekalkan syarikat Perancis tetapi bayaran diselewengkan ke syarikat palsu yang ditubuhkan di Malta dan Labuan,” dakwa Rafizi.
Rafizi juga mendakwa, semakannya menunjukkan skim menyeleweng dana awam daripada projek LCS dibuat selama bertahun-tahun dan dengan penuh perancangan.
“Saya juga boleh mengesahkan ada pelbagai bentuk kontrak pertahanan lain membabitkan Abd. Latiff, sekali gus membuktikan LCS bukan satu-satunya projek syarikat berkait dengan beliau.
“Ada beberapa projek pertahanan negara yang lain turut membabitkan Alizes Marine dan beberapa syarikat lain dimiliki dan dikawal oleh dia sendiri (Abd. Latiff) atau isterinya,” katanya.
Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berkata, skim menyelewengkan dana LCS menggunakan syarikat palsu dimiliki Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu bukanlah satu kebetulan.
“Sebab itu, saya dari awal menuntut penjelasan Ahmad Zahid sebagai Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab menukar reka bentuk kapal dari Sigma kepada Gowind dan Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
“Mustahil skim penyelewengan membabitkan projek dikendalikan kedua-dua mereka (Najib dan Zahid) boleh berlaku tanpa pengetahuan mereka,” katanya. –UTUSAN