PAC akan menetapkan satu tarikh pada bulan Oktober iaitu

LCS: PAC panggil semula KSU Kementerian Pertahanan Oktober ini

WONG Kah Woh (tiga dari kiri) menunjukkan pelan pembangunan menaiktaraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji di Ipoh hari ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklum balas mengenai tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh jawatan kuasa itu berhubung projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, PAC akan mengatur satu tarikh pada bulan Oktober ini untuk membolehkan KSU Kementerian Pertahanan tampil ke PCA.

Menurutnya, secara prosedurnya, KSU diberikan masa sebulan untuk menghantar satu laporan tindakan susulan interim terlebih dahulu kepada PAC.

Katanya, selepas itu, PAC akan menetapkan satu tarikh pada bulan Oktober iaitu genap dua bulan selepas laporan PAC mengenai LCS dibentangkan di Parlimen bagi memanggil semula KSU Kementerian Pertahanan untuk memberikan maklum balas.

“Laporan PAC mengenai projek perolehan LCS telah dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos lalu dan PAC telah menyenaraikan beberapa rumusan dan syor-syor berhubung projek tersebut.

“Secara prosedurnya, dalam masa dua bulan daripada hari pembentangan laporan LCS di Parlimen, PAC akan memanggil semula KSU Kementerian Pertahanan untuk memberikan maklum balas kepada PAC mengenai tindakan susulan yang diambil oleh kementerian berkenaan syor-syor yang telah dibentangkan oleh PAC.

“Selepas itu PAC akan membuat satu laporan terhadap tindakan susulan tersebut dan memberikan ulasan serta komen PAC yang selanjutnya berkenaan laporan kita.

“Ini merupakan prosedur biasa, bukan untuk LCS sahaja tetapi untuk kes-kes yang disiasat dan dibentangkan laporan oleh PAC,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau kerja menaik taraf infrastruktur di Taman Pinggir Sungai Pinji di sini hari ini.

Kah Woh mengakui ada syor penting PAC yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan iaitu nyah klasifikasi atau nyah rahsia Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Katanya, laporan itu telah dinyahrahsiakan walaupun dengan sedikit pemadaman berkaitan pemegang saham dan pengarah bagi syarikat-syarikat yang terbabit.

Begitupun beliau berkata, pemadaman nama pengarah atau pemegang saham syarikat dalam laporan yang telah dinyah rahsia itu tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

“Kita mahu keseluruhan laporan tersebut disiarkan atau dinyah klasifikasikan tanpa sebarang pemadaman pada mana-mana bahagian pun.

“Bagi saya, maklumat mengenai siapa pemegang saham, siapa yang pengarah dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam LCS merupakan maklumat terbuka yang boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Tindakan kerajaan memadam maklumat dalam laporan yang telah dinyah rahsia itu amat tidak perlu kerana bagi saya ia maklumat yang terbuka,” katanya.

Skandal berhubung kapal tempur menarik perhatian ramai apabila PAC dalam laporannya mendedahkan kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN