KOTA BHARU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan diminta untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan rojak buah-buahan atau colek dijual pada harga mahal di kawasan Pantai Cahaya Bulan (PCB).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang Dr. Izani Husin berkata, sejujurnya beliau terkejut dengan perkhabaran tersebut dan perkara itu dilihat tidak baik untuk pelancongan di kawasan berkenaan.0
“Jadi, saya serahkan perkara ini kepada pihak KPDNHEP untuk menjalankan siasatan.
“Saya menasihatkan supaya peniaga tidak meletakkan harga yang tinggi bagi menjaga imej kawasan tersebut sebagai pusat pelancongan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Usahawan Belia DUN Kijang dan Penyampaian Tabung Usahawan Muda Negeri Kelantan di PCB Resort di sini hari ini.
Dr. Izani yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri memberitahu, para peniaga di kawasan tersebut diingatkan supaya menjaga sentiasa kebersihan premis.
Katanya, mutu dan kualiti makanan perlu dijaga sebelum dijual kepada pengunjung. –UTUSAN ONLINE