Keputusan PRU15 ditentukan pengundi atas pagar, bukan ahli parti

Keputusan PRU15 ditentukan pengundi atas pagar, bukan ahli parti

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sama ada hukuman penjara ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum kelak, sukar untuk ditentukan.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ditanyakan soalan tersebut juga kelihatan sukar untuk memberikan jawapan secara jelas, namun berpandangan, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditentukan oleh pengundi di atas pagar dan mereka yang tidak menganggotai mana-mana parti politik.

“Hukuman sudah dijatuhkan, terpulang kepada orang ramai untuk buat pilihan, lebih kepada PH dan kurang kepada mereka (Barisan Nasional), itu bergantung kepada kefahaman masing-masing.

“Kalau kita lihat, rakan di sebelah sana, nampak menjadikan perkara itu (hukuman ke atas najib) sebagai motivasi, tetapi kami (PH) pula rasa itu (hukuman) memang wajar, terpulang kepada pengundi nanti.

“Sebenarnya ahli parti tidak ramai, sama ada UMNO, Keadilan, PH, PN juga tidak ramai, yang ramai adalah pengundi atas pagar yang merupakan 60 peratus daripada jumlah pengundi nanti. Mereka yang akan menentukan siapa menang atau kalah dan mereka ini mahu melihat sebuah kerajaan yang jujur, ikhlas dan bersih,” katanya.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau berharap keputusan mahkamah terhadap bekas Perdana Menteri perlu dijadikan pengajaran kepada semua pemimpin di negara ini.

“Hukuman dijatuhkan dan kita perlu hormat, saya rasa harapan sebahagian besar rakyat adalah untuk melihat institusi kehakiman berjalan baik dan pentadbiran negara berada dalam landasan yang betul selepas ini.

“Keputusan itu juga dijadikan pengajaran kepada kesemua pimpinan agar patuh dan akur dengan undang-undang sedia ada,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN