KOTA BHARU: Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan tiada berlaku campur tangan kerajaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Perdana Menteri dari UMNO, namun, tiada sebarang campur tangan dalam urusan mahkamah menjadikan perkara itu menjadi lebih telus.
“Mahkamah menghukum apa yang zahir dan sekarang baru saya nampak hikmah peralihan (jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) itu. Bayangkan jika yang jadi Perdana Menteri (PM) itu (sekarang) Muhyiddin, kita boleh bayangkan bagaimana rasa tidak puas hati terutama ahli UMNO kepada PM.
“Tapi, bila Ismail Sabri jadi PM dan walaupun dari UMNO, dia berjaya membuktikan bahawa kerajaan tak campur tangan dalam urusan mahkamah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Maahad Tahfiz Al-Quran Gerak Wira di Mukim Guntong, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu memberitahu, keputusan itu membuktikan institusi kehakiman yang berintegriti, hukuman terhadap Najib disifatkan peringatan kepada semua pihak dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Katanya lagi, cemuhan dari rakyat termasuk luar negara yang diterima berkaitan perjalanan isu besar tersebut dapat dikikis.
“Dalam kerangka institusi kehakiman, dapat satu pembuktian bahawa tiada campur tangan dalam mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk dibicarakan walau bekas PM sekalipun.
“Ini peringatan kepada semua pihak yang mana kita perlu bina negara kita dalam membanteras rasuah bagi mewujudkan negara yang berintegriti untuk masa hadapan,” katanya. –UTUSAN ONLINE