Kastam serbu dua gudang arak haram di Selangor - Utusan Malaysia

Kastam serbu dua gudang arak haram di Selangor

ZAZULI Johan (tengah) menunjukkan botol minuman keras yang dirampas JKDM di Kompleks Kastam Kargo KLIA Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melumpuhkan sindiket pengilangan minuman keras tanpa lesen dianggarkan bernilai RM3.36 juta termasuk cukai menerusi dua serbuan di Selangor. 

Serbuan pada 21 Julai oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit III itu melibatkan  gudang di Batu Arang dan Puncak Alam. 

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, menerusi serbuan pertama pihaknya menyita minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai sebanyak 5,876 liter yang dianggarkan bernilai RM414,891.94 dan duti sebanyak RM462,105.59.

Menurut beliau,  dalam serbuan kedua sejumlah 22,355 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM1.01 juta dengan anggaran jumlah cukai  sebanyak RM1.4 juta turut disita. 

“Kita turut menyita peralatan-peralatan untuk memproses minuman keras seperti mesin untuk memproses bahan mentah, tong-tong berisi cecair disyaki alkohol, botol-botol kosong, penutup botol, pelekat minuman keras, kotak minuman keras dan setem cukai kastam disyaki palsu dianggarkan bernilai RM50,000. 

“Empat orang individu warganegara asing berumur  24 hingga 37 tahun yang ditahan menerusi serbuan tersebut dituduh di Mahkamah Selayang pada 5 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati kesemua minuman keras yang disita adalah dikilangkan secara haram tanpa lesen eksais  bagi mengelak membayar duti. 

Katanya, modus operandi sindiket berkenaan adalah  menjadikan gudang-gudang di kawasan perindustrian sebagai pusat memproses, mengilang dan menyimpan minuman keras sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya