Kaji punca lepasan SPM enggan belajar

Kaji punca lepasan SPM enggan belajar

DR. ADHAM Baba merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka di Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengarahkan Akademi Sains Malaysia (ASM) membuat kaji selidik susulan isu 72 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa tidak mahu menyambung pelajaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, isu tersebut perlu disahkan dan ASM akan membuat kaji selidik semula terhadap kebenaran peratusan itu.

“Angka 70 peratus yang tidak minat sambung pelajaran satu kerugian kepada negara. Langkah-langkah selanjutnya perlu kita laksanakan supaya perkara ini tidak jadi bebanan awal untuk kita lahirkan gene­rasi berteknologi tinggi dan minat dalam bidang sains inovasi dan teknologi.

“Jadi, kita minta ASM me­lakukan kaji selidik segera untuk verified peratusan itu tepat atau bukan dan kita akan kemukakan hasilnya kepada kerajaan untuk lihat apakah tindakan susulan yang akan dilaksanakan,” katanya selepas merasmikan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Merdeka di Pusat Informasi dan Pelancongan (TIC) Kota Tinggi, semalam.

Dalam pada itu Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, karnival yang turut mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu secara tidak langsung dapat merealisasikan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya lebih ramai bakat muda menyertai bidang sains dalam pelajaran dan pekerjaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memaklumkan penganjuran Minggu Sains Negara yang dilancarkan April lalu telah berjaya mencapai lebih 1.56 juta penyertaan berbanding sasaran hanya 1.5 juta penyertaan hingga Oktober ini, namun jumlah itu berjaya dicapai lebih awal.

“Tidak cukup setakat itu, sukacita saya kongsikan dan umumkan di sini, data terkini yang telah diperoleh. Hingga semalam, lebih 1.67 juta pen­yertaan telah dicatatkan.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan. Hingga kini, sebanyak 175 program telah dianjurkan menerusi Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022.

“Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia 2022 ini juga jelas mencerminkan kejayaan sebuah platform yang memperkayakan aktiviti penemuan dan eksplorasi sains bagi tujuan pengukuhan pendidikan sains dalam kalangan pelajar,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN