K-KOM, MDEC  bawa pelaburan digital bernilai RM7 bilion

K-KOM, MDEC  bawa pelaburan digital bernilai RM7 bilion

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menarik pelaburan digital lebih RM7 bilion pada separuh pertama 2022 sebagai usaha memacu sektor tersebut.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelaburan yang diperoleh adalah daripada Pelaburan Digital Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Digital Langsung Domestik (DDI) yang dijangka mewujudkan hampir 10,000 peluang pekerjaan.

Kata beliau, pencapaian itu juga adalah bukti negara berada dalam kedudukan terbaik untuk mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

“Pelaburan digital amat penting dalam proses pemulihan ekonomi, kerana ia mewujudkan pekerjaan berpengetahuan tinggi dan membantu mempercepat inovasi serta adaptasi teknologi dalam Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam menjadi sebuah negara digital.

“Selain memacu pelaburan digital ke Malaysia, pencapaian separuh pertama 2022 menjadi bukti usaha berterusan K-KOMM dan MDEC dalam menyerlahkan lagi peningkatan momentum pelabur ke Malaysia serta menjadikannya sebagai destinasi pelaburan digital utama di ASEAN, yang diperoleh daripada infrastruktur bertaraf dunia, ekosistem digital yang holistik dan bakat digital yang dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan, pelaburan tersebut diperoleh daripada 53 buah syarikat yang berkembang pesat dan terkemuka dalam industri pelbagai negara termasuk Australia, China, Jepun, Singapura, Switzerland, Belanda, United Kingdom serta Amerika Syarikat.

Jelasnya, majoriti syarikat yang terlibat adalah terdiri daripada sektor perkhidmatan digital dan infrastruktur, syarikat daripada sektor kewangan, sektor bandar pintar, sektor perdagangan digital, sektor kandungan digital serta sektor perkhidmatan secara digital.

“Malaysia juga merupakan antara destinasi pelaburan digital. Syarikat seperti Aerodyne Group, Daythree Business Services Sdn. Bhd., CTOS Data Systems Sdn. Bhd., dan TMF Regional Delivery Centre Sdn. Bhd. adalah antara contoh syarikat yang melabur serta masih mengekalkan hak operasi di Malaysia.

“MDEC yang juga Peneraju Agensi Promosi Pelaburan Digital (IPA) akan terus memacu pelaburan digital ke Malaysia menerusi inisiatif Malaysia Digital dan mengukuhkan kedudukan negara kita sebagai destinasi pelaburan digital utama di ASEAN,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN