JBPM Kelantan sedia hadapi banjir awal - Utusan Malaysia

JBPM Kelantan sedia hadapi banjir awal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir lebih awal susulan cuaca tidak menentu ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JBPM negeri, Zainal Madasin berkata, persediaan awal itu merangkumi pemeriksaan berkala semua kelengkapan logistik dan pertambahan keanggotaan.

“Semua ini bagi memastikan semua kelengkapan logistik sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Jika banjir berlaku dalam skala yang besar, JBPM Kelantan akan mendapatkan bantuan anggota sokongan dari negeri-negeri tidak terjejas dengan banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zainal memberitahu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi berlaku kejadian kepala air.

Katanya, kawasan-kawasan berkenaan merupakan tempat-tempat rekreasi dan tumpuan pengunjung yang melibatkan kawasan-kawasan berbukit bukau.

“Kawasan-kawasan yang dikesan berpotensi untuk berlaku kejadian kepala air adalah di sekitar Hulu Kelantan seperti Gua Musang dan Dabong, termasuk Taman Negeri Gunung Stong.

“Di kawasan-kawasan bersempadan Thailand seperti Rantau Panjang pula tiada kawasan dikesan berpotensi berlaku kejadian kepala air berikutan ia tidak melibatkan kawasan berbukit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal menggesa masyarakat di sekitar kawasan rendah terutama di pinggir Sungai Kelantan dan Sungai Golok agar sentiasa berwaspada dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Katanya, masyarakat di kawasan terbabit sentiasa peka serta mengambil tahu laporan-laporan daripada Jabatan Meteorologi, Majlis Keselamatan Negara dan pasukan keselamatan.

“Saya harap masyarakat membuat persediaan awal untuk berdepan musim tengkujuh. Sentiasa berwaspada serta elak bermain di kawasan-kawasan berair seperti sungai dan jangan sesekali menjadikan tengkujuh seperti pesta,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya