‘Jangan terpengaruh tawaran harga tinggi jual tanah Langkawi’ - Utusan Malaysia

‘Jangan terpengaruh tawaran harga tinggi jual tanah Langkawi’

MURAD Ahmad menerima geran tanah daripada Muhammad Sanusi Md. Nor pada Majlis Penyerahan Geran kepada Peserta Felcra Kampung Kok, di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, hari ini. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Penduduk di pulau peranginan ini dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan tawaran daripada orang luar yang ingin membeli tanah di daerah tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penduduk Langkawi seharusnya diberi ‘kunci’ untuk memiliki harta sendiri kerana pulau itu dikunjungi pelancong dari serata dunia.

“Kalau jualan itu mendatangkan hasil yang lumayan dan dia buat rancangan lain yang lebih baik tidak mengapa, tapi takut mereka jual (tanah), kemudian hilanglah. Generasi akan datang terpaksa merungut-rungut sebab tiada tanah walhal sebenarnya tanah ada tapi sudah dijual. 

“Saya harap tanah-tanah penduduk Langkawi ini dipelihara dengan tawaran-tawaran jualan hebat-hebat itu, fikirlah dua, tiga kali kerana anak-anak kita esok nak kena duduk di Langkawi juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Geran kepada peserta Felcra Kampung Kok di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi turut menyatakan, terdapat kekangan penggantian tanah bagi penduduk yang tinggal di tanah milik Jabatan Perhutanan dan belum mendapat geran.

Jelasnya, walaupun mereka meneroka tanah itu sehingga 40 tahun lalu, namun, untuk menyelesaikan permohonan pemilikan tanah itu menjadi sukar apabila jabatan itu memerlukan tanah lain untuk diganti.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi Pejabat Daerah dan Tanah untuk menyelesaikan 10 fail berkaitan tanah dalam tempoh sebulan bagi mengelak penduduk negeri ini daripada terpaksa menunggu lama untuk mendapat geran tanah kediaman mereka.

“Harap tiada lagi yang terpaksa tunggu sampai 40 tahun untuk dapat geran. Tak munasabah kan? Sampai matilah tunggu geran sehingga dah beranak pinak atau cucu,” ujarnya.

Sementara itu, penantian selama 40 tahun penduduk Felcra Kampung Kok akhirnya berbaloi apabila mereka menerima geran tapak rumah pada majlis berkenaan.

Salah seorang penerima, Murad Ahmad, 67, berkata, pada mulanya, kira-kira 50 orang penduduk meneroka kawasan itu pada tahun 1982 , namun, daripada jumlah itu, hanya 17 peneroka asal yang tinggal, kerana ada yang meninggal dunia sebelum diteruskan generasi seterusnya.

“Saya banyak kali naik turun pejabat tanah, jumpa Menteri Besar, Pegawai Daerah, wakil rakyat, penghulu dan pihak Felcra selain berulang alik ke tanah besar bagi berusaha untuk mendapatkan geran ini.

“Saya rasa syukur dan gembira sangat sehingga saya tak boleh cakap apa kerana rasa sebak apabila memegang geran tanah sendiri hari ini,” katanya yang bersama 35 penduduk lain yang menerima geran itu.

Murad yang juga bapa kepada lima anak berkata, dia diamanahkan menjadi wakil kepada peserta Felcra untuk meneruskan proses bagi mendapatkan geran tersebut yang akhirnya menyifatkan kesabarannya itu kini berbalas walaupun terpaksa menunggu hampir 40 tahun.

“Lambat tak apa, kita sabar. Kita tak boleh terburu-buru, kita solat, minta doa untuk dapat apa yang kita nak, Alhamdulillah, jadi kenyataan akhirnya,” katanya.

Jelasnya, tanah di kawasan itu diusahakan penduduk bagi tanaman getah, namun, mereka juga pernah mengusahakan tanaman sampingan seperti nanas, pisang dan jagung untuk menampung pendapatan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya