‘Jadi usahawan jika gagal SPM’ -Noh Omar - Utusan Malaysia

‘Jadi usahawan jika gagal SPM’ -Noh Omar

NOH Omar (tengah) bercakap selepas Majlis Penutup Mesyuarat Agung PBPM ke-48 dekat Wisma Muara, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal digalakkan menyertai pelbagai program keusahawanan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, KUSKOP sentiasa membuka peluang kepada belia tanpa mengira latar belakang dalam usaha membantu meningkat taraf hidup, selain menjana ekonomi.

“Belia di luar sana kena dekati KUSKOP kerana KUSKOP ada menyediakan pelbagai program untuk bantu usahawan dalam kalangan belia.

“Kalau kata belia hendak mula berniaga, tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada tempat niaga, tiada lesen niaga pun, boleh mohon dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN). Ini kerana kita ada satu program iaitu Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di TEKUN, jadi kita akan bantu belia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Selangor hari ini.

Noh berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, baru-baru ini bahawa seramai 45,526 orang calon tidak layak mendapat sijil SPM ekoran gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah atau kedua-duanya.

Mengulas lanjut, Noh berkata, lebih 400,000 individu, termasuk belia mendapat latihan keusahawanan melalui 11 agensi di bawah KUSKOP dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Agensi di bawah KUSKOP ini melatih ramai usahawan. Mengikut perancangan awal, sasaran saya adalah 143,000 usahawan dilatih. membabitkan 11 agensi.

“Tetapi, berdasarkan laporan yang diberikan kepada saya minggu ini, angkanya sudah cecah lebih 400,000, iaitu naik empat kali ganda,” katanya.

Beliau menambah, KUSKOP juga mempunyai Institut  Keusahawanan Negara (INSKEN), yang sudah membantu ramai individu menjadi usahawan termasuk belia. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya