Hutan Belum-Temengor `dihuni’ pemburu haram - Utusan Malaysia

Hutan Belum-Temengor `dihuni’ pemburu haram

AZNI Rahman A. Wahid (empat dari kiri) bersama wakil agensi yang terlibat dalam operasi bersepadu di Hutan Belum-Temenggor menunjukkan kelongsong peluru dan beberapa peralatan berburu yang ditemukan pada penutup Operasi Bersepadu SMART di Pulau Tali Kail Tasik Banding, Gerik baru -baru ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kelongsong peluru, tapak khemah dan pondok yang dibina atas pokok antara kesan aktiviti pemburu haram yang sedang mengancam khazanah di kawasan Hutan Belum-Temengor Hulu Perak

Jika kegiatan itu tidak dibendung, Hutan Belum- Temengor Hulu Perak yang kini popular dengan hidupan hutan semula jadi dan spesies haiwan dilindungi akan pupus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Operasi Perhutanan Perak, Azni Rahman A. Wahid berkata, bagi melindungi khazanah hutan itu, pihaknya dengan kerjasama tujuh agensi lain melancarkan operasi bersepadu di kawasan Hutan Belum-Temengor Hulu Perak dari 8 hingga 12 Ogos lalu.

Menurut beliau, menerusi operasi tersebut pasukannya menemukan pelbagai kesan aktiviti pemburuan haram yang aktif seperti tapak khemah, senjata memburu seorang pendatang tanpa izin (PATI) dan jenut.

“Pasukan operasi kita juga menemukan tempat binatang berkumpul menjilat tanah atau rumput yang bergaram yang masih segar,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Kata Azni, pihaknya turut mengenal pasti 13 lokasi panas yang aktif dengan aktiviti-aktiviti jenayah di Hutan Belum-Temengor.

“Berdasarkan penemuan sebelum ini, ia menunjukkan pemburu haram sanggup bermalam sehingga tiga bulan di hutan demi mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit dengan memburu haiwan yang dilindungi selain mengambil pokok bernilai tinggi seperti gaharu dan sebagainya.

“Kompleks Hutan Belum-Temengor di Hulu Perak ini bukan hanya menjadi tumpuan warga tempatan malahan turut menjadi tumpuan warga asing seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam untuk mencuri hasil hutan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada penutup Operasi Bersepadu SMART di Pulau Tali Kail Tasik, Banding dekat sini baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mengenal pasti terdapat banyak laluan tikus yang kebanyakkan aksesnya adalah melalui Jalan Raya Gerik-Jeli yang terletak di tengah-tengah Hutan Simpan Amanjaya di sini.

Azni memberitahu, kawasan itu menjadi tumpuan jenayah hutan kerana kawasan Kompleks Hutan Belum-Temengor di sini juga kaya dengan mineral dan menjadi tumpuan peneroka hasil mineral terutamanya bijih timah.

“Mengambil kira penemuan-penemuan ini, jabatan mengambil inisiatif proaktif untuk terus melakukan operasi bagi membendung aktiviti jenayah perhutanan dan jenayah hidupan liar.

“Jabatan akan memastikan rangkaian dan rantaian aktiviti -aktiviti ini terputus dan seterusnya jenayah penerokaan hutan dan pemburu hidupan liar dapat dibanteras,” katanya.

Sementara itu, Azni Rahman berkata, operasi bersepadu empat hari baru-baru ini di kawasan hutan di Hulu Perak melibatkan tujuh agensi lain iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Perbadanan Taman Negeri Perak dan dua badan bukan kerajaan (NGO), iaitu WWF-Malaysia dan RIMAU.

Menurutnya, operasi bersepadu yang dikenali SMART itu dijalankan di Kompleks Hutan Belum-Temengor yang melibatkan Hutan Simpan Amanjaya, Hutan Simpan Gerik, Hutan Simpan Banding dan Hutan Simpan Temengor.

“Operasi tersebut menumpukan kepada dua matlamat iaitu membanteras jenayah penerokaan hutan dan pemburuan hidupan liar.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam memastikan khazanah kita yang bernilai ini dilindungi dan dijaga,” katanya.

Kata beliau, sepanjang operasi yang melibatkan 62 orang pegawai dan kakitangan itu menjalankan kerja-kerja pemantauan dan pemerhatian di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berpandukan sistem e- Goespatial Perhutanan dan Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS).

“Pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan dengan menggunakan bot di kawasan air dan penggunaan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di kawasan darat.

“Selain itu operasi juga melibatkan tracking termasuk penggunaan peralatan dron, telefon satelit serta alat GPS,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya