JOHOR BAHRU: Operasi Hospital Sultanah Aminah (HSA) pulih sepenuhnya selepas beberapa kawasannya terjejas akibat banjir kilat yang melanda pusat bandar raya ini, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kerja-kerja pembersihan yang bermula sejak pagi semalam telah selesai.
Menurutnya, banjir kilat berkenaan tidak menjejaskan peralatan atau kemudahan hospital yang kritikal.
“Hujan lebat dan banjir kilat itu menjejaskan beberapa kawasan tempat letak kenderaan dan kemudahan yang terdapat di tingkat bawah tanah termasuk tandas dan unit lif.
“Namun, setelah kerja-kerja pembersihan dan baik pulih dijalankan, semuanya beroperasi dan kembali normal,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kelmarin, beberapa lokasi di pusat bandar raya ini dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat lebih sejam dan pada masa sama berlaku air pasang besar.
Selain HSA, antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Ayer Molek berhampiran Wisma Persekutuan, Jalan Yahya Awal, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan dan Jalan Tun Abdul Razak.
Banjir kilat tersebut turut dilaporkan menjejaskan lebih 500 kenderaan yang tidak sempat dialihkan ke kawasan lebih tinggi oleh pemiliknya. –UTUSAN ONLINE