Guna teknologi perkara bahasa Melayu serantau - Utusan Malaysia

Guna teknologi perkara bahasa Melayu serantau

TUANKU Syed Faizuddin Putra (lapan dari kanan) bergambar bersama peserta dan tenaga pengajar sempena program Semarak Bahasa Melayu di Sekolah Agama Wittaya, wilayah Phuket, Thailand di sini, semalam. – MINGGUAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHUKET, THAILAND: Penguasaan bahasa Melayu di peringkat serantau mampu dipertingkatkan dengan mengaplikasikan gabungan teknik pengajaran, aktiviti serta teknologi semasa bagi menarik minat para pelajar mendalami bidang tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa itu

Titah baginda, penggunaan gabungan teknik yang betul dan aktiviti berkaitan juga dilihat sebagai nafas baharu meningkatkan literasi digital para pelajar seiring dengan perkembangan dunia semasa.

“Sekiranya kita menghayati sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun antara wilayah selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Selain itu, bahasa Melayu adalah salah satu wadah penyatuan selain menjadi lambang jati diri warga negara-negara serumpun,” titah baginda ketika merasmikan majlis Semarak Bahasa Melayu Univesiti Teknologi Mara (UiTM) sempena program Ziarah Muhibbah 2020 di Sekolah Agama Wittaya Phuket semalam.

Ziarah Muhibbah adalah satu program kerjasama strategik MAIPs dengan Majlis Agama Islam (MAI) dari enam wilayah Andaman di Thailand iaitu Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun dalam pemerkasan bidang sosial, pengurusan zakat, persijilan halal dan lain-lain lagi.

Program Semarak Bahasa Melayu adalah kerjasama strategik antara UiTM cawangan Perlis bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Islam Perlis (MAIPs) dengan Sekolah Agama Wittaya Phuket.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, penguasaan bahasa ini perlu dilestarikan kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan agar jati diri mereka terus kukuh walau mendepani arus kemodenan.

Sementara itu, Rektor UiTM cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd. Fauzi berkata, pihaknya menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam program dijalankan termasuk memberi pengajaran literasi digital dan alam sekitar kepada peserta.

Katanya, UiTM dengan kekuatan empat tenaga pengajar mencuba kaedah itu ke atas kira-kira 50 pelajar Sekolah Agama Wittaya Phuket yang rata-rata berusia 17 tahun bagi melihat penerimaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN