IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesan kehadiran seekor gajah liar di kawasan perkampungan Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Gerik.
Kehadiran mamalia itu dikesan selepas seminggu insiden seorang wanita Orang Asli parah diserang gajah liar di kebun di belakang rumahnya di Kampung Katong ketika mengutip buah durian.
Kejadian sekitar pukul 6.30 petang pada 30 Julai lalu itu menyebabkan mangsa berusia 30 tahun patah tangan dan kaki kanan serta lebam di bahagian perut.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, anggota daripada Unit Tindakan Gajah Negeri (UTG) Perak berada di kawasan berkenaan bagi menjalankan kawalan dan pemantauan.
Katanya, usaha sedang dijalankan bagi menghalau gajah liar berkenaan masuk semula ke dalam hutan.
“Setakat ini, kita belum dapat mengesahkan sama ada gajah yang berkeliaran ini merupakan haiwan sama yang menyerang mangsa.
“Musim durian gugur di RPS Kemar dipercayai menjadi faktor mamalia itu masuk ke kawasan kampung,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gajah jantan berusia antara 32 hingga 35 tahun itu didapati dipasangkan kolar satelit bagi tujuan mengesan pergerakan haiwan berkenaan.
“Kolar itu dipasang dengan kerjasama Malaysian Elephant Management Ecology (MEME). Menerusi kaedah itu, kita dapat mengetahui pergerakan gajah sekali gus membantu kita mencari jalan mengurangkan konflik gajah yang berlaku,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video berdurasi 53 saat memaparkan seekor gajah berkeliaran di hadapan rumah penduduk yang didakwa berlaku di RPS Kemar. –UTUSAN