Dua bot nelayan warga Vietnam ditahan - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan warga Vietnam ditahan

WAN Muhammad Aznan Abdullah (berdiri, tengah) memeriksa nelayan warga Vietnam yang ditahan di Kemaman, hari ini. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Cubaan dua buah bot nelayan warga Vietnam mengaut hasil laut menggunakan pukat tunda ganding membawa padah apabila kedua-kedua bot itu ditahan Jabatan Perikanan Malaysia di perairan Kuala Terengganu, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan pada jarak 70 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 pagi.

“Ketika dikesan menggunakan Sistem Pemantauan Vesel Jabatan Perikanan (Enav), kedua-dua bot itu dipercayai sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

“Semasa usaha penangkapan dilakukan, salah sebuah bot cuba melanggar bot kami, namun, ketangkasan anggota kami berjaya mengelak dan menahan kedua-kedua buah bot,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Tahanan Vesel Perikanan di Geliga, hari ini.

Wan Muhammad Aznan berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-kedua bot tidak mempunyai lesen menangkap ikan yang sah di perairan negara.

“Kita menahan 16 kru termasuk tekong kesemuanya dipercayai warganegara Vietnam dan turut merampas kira-kira 20 tan hasil tangkapan dan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3.5 juta.

“Bot dan nelayan yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kemaman untuk disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Wan Muhammad Aznan berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bersama penguat kuasa lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

“Menerusi sistem Enav yang mula dipasang sejak Februari lalu, ia memudahkan lagi pihak kami mengesan bot nelayan asing yang masuk ke perairan negara yang mana data penjejakan yang diperoleh digunakan untuk analisa trend pergerakan vesel asing dan ia sangat membantu penguatkuasaan,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya