PENURUNAN harga emas sejak kebelakangan ini tidak menghalang sebahagian pelabur daripada terus menambah pegangan mereka, malah situasi itu dilihat sebagai peluang terbaik untuk memperkukuhkan simpanan dan pelaburan jangka panjang.
Bagi Athira Arasz, 29, emas bukan sekadar barang kemas atau koleksi peribadi, sebaliknya berfungsi sebagai aset simpanan yang boleh menjadi pelan sokongan kewangan pada masa hadapan.
“Bagi saya, emas bukan sekadar hiasan atau disimpan suka-suka, tetapi lebih kepada pelan sandaran untuk masa depan.
“Saya biasanya membeli emas ketika harga sedang menurun atau apabila mempunyai lebihan wang. Jadi, saya tidak terlalu mengikut emosi atau trend pasaran, sebaliknya menunggu peluang yang sesuai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Athira, dia akan membeli emas antara satu hingga dua kali sebulan bergantung kepada kedudukan kewangan semasa serta pergerakan harga pasaran.
Sementara itu, Mohamad Fuad Menhat, 40, berkata, emas masih menjadi pilihan utama beliau dan keluarga kerana nilainya dilihat lebih stabil berbanding menyimpan wang tunai semata-mata.
Menurutnya, emas juga mudah dicairkan apabila diperlukan dan sering berfungsi sebagai aset sokongan ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi.
“Emas ini mudah untuk dijual semula apabila memerlukan wang. Sebab itu saya melihatnya sebagai aset simpanan yang boleh digunakan ketika waktu susah.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, menyimpan emas masih dianggap berbaloi kerana nilainya lebih terjamin,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi oleh Siti Mariam Aziz, 44, yang menganggap emas sebagai instrumen simpanan jangka panjang yang mampu mengekalkan nilai dalam bentuk aset fizikal.
“Jika dibandingkan dengan menyimpan wang dalam bank sahaja, emas memberi kepuasan kerana kita dapat melihat dan memegang sendiri nilai simpanan tersebut.
“Emas bukan sahaja berfungsi sebagai penyimpan nilai, malah sangat praktikal digunakan ketika berdepan keperluan kewangan yang mendesak,” katanya.
Siti Mariam berkata, beliau sentiasa menunggu masa yang sesuai untuk membeli emas, dengan faktor harga semasa menjadi pertimbangan utama sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.
Bagi tujuan simpanan, beliau memilih untuk membeli emas melalui Public Gold kerana kemudahan yang ditawarkan serta kesesuaiannya dengan matlamat simpanan jangka panjang.
Walaupun harga emas mengalami turun naik dalam tempoh tertentu, ramai pelabur masih melihat logam berharga itu sebagai instrumen penyimpan nilai yang kukuh, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup. – UTUSAN










