Diskriminasi OKU berleluasa

Diskriminasi OKU berleluasa

Seorang lelaki orang kurang upaya berkerusi roda menunaikan solat di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Diskriminasi terhadap Orang Kurang Upaya (OKU) di tempat kerja masih berleluasa di negara ini dengan hampir 100 aduan mengenainya setiap bulan.

Kebanyakan aduan yang diterima membabitkan dakwaan ketidakadilan majikan dan rakan sekerja, antaranya diberikan jawatan tanpa mengikut kelayakan walaupun ada kalangan mereka berkelulusan tinggi sehingga peringkat sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Mereka turut mendakwa dipandang rendah majikan, malah diherdik kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja seperti kakitangan normal yang lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kebanyakan rungutan yang diterima sama ada daripada pihaknya dan daripada agensi serta persatuan-persatuan lain sehingga menimbulkan tekanan terhadap golongan itu.

“Itu antara kita lalui, paling parah adalah mereka (majikan) tak beri kerja ikut kelayakan, golongan OKU ada ijazah sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), tetapi kerja susun barang dan lebih kepada bahagian pentadbiran.

“Dalam seminggu dapat 10 hingga 15 kes aduan diterima, tetapi adakala menerusi persatuan mereka (mangsa) dan bukannya datang terus kepada kami. Kebanyakan aduan diterima adalah (majikan) antaranya tidak mahu sediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti tandas dan parkir.

“Tetapi kadang-kadang berlaku diskriminasi apabila rakan sekerja dan majikan macam pandang rendah pada kumpulan OKU. Ada kes kakitangan itu diherdik sebab cara dia kerja tidak boleh duduk lama, kena rehat dan baring, padahal ada antara kami tidak boleh bekerja teruk macam orang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga September 2021 terdapat 611,939 OKU yang berdaftar dengan agensi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, persatuannya cuba membantu melalui apa sahaja kaedah yang boleh untuk membantu golongan terbabit yang menjadi mangsa ketidakadilan itu.

“Kita akan meneliti rungutan yang diterima dan cuba ikhtiar macam mana serta sokong mana yang boleh,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau ber­kata, majikan mahupun rakan sekerja disaran untuk mempunyai simpati serta belas kasihan kepada pekerja OKU.

Malah, katanya, majikan terutamanya juga perlu menyediakan pasukan mereka, pekerja dan diri sendiri untuk bagaimana memberi sokongan kepada pekerja OKU.

“Itu penting, terutamanya simpati dan belas kasihan sebab kita tak tahu bila akan jadi OKU, kifarah adalah benar. Sebelum ambil golongan OKU bekerja dengan kita, adalah lebih bagus jalani latihan kesamarataan, jadi mereka lebih faham macam mana nak uruskan OKU kategori masalah pembelajaran, pekak, buta dan lain lagi.

“Kita patut sambut semua perbezaan, kita kurang upaya bukan kelainan upaya, jadi kita tetap manusia. Mereka (golo­ngan OKU) juga bukan minta untuk jadi seperti itu dan itu adalah takdir, jangan persenda mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN