Cadangan asrama pekerja asing di Bertam dibatalkan - Utusan Malaysia

Cadangan asrama pekerja asing di Bertam dibatalkan

SELEPAS mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya penduduk di sekitar Bertam, Kepala Batas, cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang akhirnya dibatalkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Selepas mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya penduduk di sekitar Bertam, Kepala Batas, cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang akhirnya dibatalkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat pemaju, Lestari Duta setelah mengambil kira pandangan dari pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan-jabatan teknikal terlibat.

“Pemaju bersetuju untuk membatalkan asrama warga asing seperti yang terkandung di dalam pelan terdahulu.

“Pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikannya dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri.

Ia termasuk projek terbabit menghasilkan manfaat sepenuhnya kepada penduduk dan negeri di samping mengurangkan implikasi negatif yang mungkin dibawa oleh pembangunan industri berteknologi terbabit.

Ditanya sama ada asrama warga asing itu masih diperlukan bagi memenuhi keperluan Taman Perindustrian Pulau Pinang dan akan dibina di kawasan lain, Ahmad Zakiyuddin berkata, ia merupakan proses yang panjang memandangkan buat masa ini, pihak pemaju hanya akan menawarkan tapak industri kepada pelabur di kawasan tersebut.

“Barangkali tenaga pekerja awal di taman perindustrian itu adalah daripada sokongan penduduk tempatan atau yang tinggal berdekatan.

“Di pihak kerajaan negeri, sekiranya ada keperluan kepada tenaga kerja warga asing bukan sahaja di taman perindustrian ini, malah, di kawasan-kawasan lain, pihak industri sepatutnya menguruskan keperluan penempatan pekerja tersebut,” katanya.

Sebelum ini, penduduk khususnya di daerah Bertam, Kepala Batas meluahkan kebimbangan dan beberapa kali mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan pembinaan CLQ itu yang dicadangkan berhampiran kediaman mereka.

Pembinaan asrama pekerja itu dirancang dibangunkan berikutan cadangan pembangunan Taman Perindustrian Pulau Pinang di tapak seluas lebih 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir.

Difahamkan, pelan asal pembinaan asrama pekerja itu keseluruhannya berjumlah tujuh blok dengan ketinggian 10 tingkat yang akan menempatkan hampir 18,000 pekerja. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya