Bertaubat jika tuduh sekolah pondok sebar ekstremisme - Utusan Malaysia

Bertaubat jika tuduh sekolah pondok sebar ekstremisme

MOHAMAD Yaakob (depan, tiga dari kiri) melepaskan konvoi penghantaran bantuan 40 tan beras serta makanan kepada Maahad Tahfiz di Kedah di Pendang Lake Resort, di sini. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Pihak yang membuat tuduhan kononnya pengajian pondok di negara ini berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme, perlu bertaubat dan memohon maaf secara terbuka melalui media.

Pengerusi Maahad Tahfiz Kedah Darul Aman (Petanda), Mohamad Yaakob berkata, tuduhan sedemikan adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan terutamanya oleh umat Islam sendiri.

“Kami amat membantah kenyataan sebegini dan mereka yang menyuarakan perkara sedemikian seharusnya bertaubat serta memohon maaf menerusi media.

“Kenyataan itu tidak sepatutnya disuarakan oleh orang Islam sedangkan mereka yang bukan Islam tak kata apa-apa pun. Mengapa pula orang Islam kita yang berkata seperti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan 40 Tan Beras Serta Makanan Kepada Maahad Tahfiz di Kedah oleh Huffaz International di Pendang Lake Resort di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul majid berkata, lebih 400 sekolah pondok di negara ini dilihat berpotensi menjadi pusat penyebaran fahaman ekstremisme membabitkan tenaga pengajar dan pelajar.

Menurut Mahmood, paling membimbangkan sekiranya sesebuah institusi dibiar tanpa pemantauan daripada pihak kerajaan.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, pihak yang membuat tuduhan sebegitu seharusnya menilai kembali sama ada kejadian-kejadian melibatkan kegiatan ekstrem sebelum ini turut disertai oleh pelajar mahu pun tenaga pengajar pondok.

“Walau sesiapa pun termasuklah golongan bijak pandai, cubalah cari masa untuk mengunjungi sekolah-sekolah pondok. Jumpalah sesiapa di sana termasuk guru-gurunya dan nilaikan keadaan di sana.

“Kalangan guru di sekolah pondok ini tidak akan mengata orang lain sebaliknya hanya membaca kitab-kitab agama saja. Mereka suka menasihatkan supaya setiap manusia takutkan Allah serta mengejar perkara yang boleh membantu kita ke syurga,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya