KOTA BHARU: Keputusan kerajaan menutup Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disifatkan satu kerugian dalam melahirkan generasi masa hadapan yang mempunyai semangat tanggungjawab tinggi kepada negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Wan Saiful Azwal Wan Mohammad, 35, salah seorang perintis awal program berkenaan berkata, PLKN sepatutnya diteruskan kerana sarat dengan pelbagai pengisian berkait dengan kenegaraan.
“Selain cintakan negara, kami turut disemat dengan kepatuhan disiplin dan tanggungjawab kepada diri sendiri, masyarakat termasuklah negara.
“Bukan itu sahaja penglibatkan pelbagai latar belakang, agama dan bangsa amat penting sekali gus selari dengan hasrat negara untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Seorang lagi bekas peserta PLKN Rimba Taqwa Sik, Kedah, Noreen Elainie Md. Arifin@Mustapha,28, berkata, PLKN wajar dihidupkan semula bagi membolehkan lebih ramai anak muda menjadi modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
Menurut beliau, sumbangan daripada generasi muda ini amat diperlukan kerana mereka adalah ‘tulang’ bekalang kepada kepimpinan negara pada masa depan.
“Menerusi PLKN, golongan belia dapat bersama menghayati konsep masyarakat majmuk negara seterusnya membantu membina pembangunan negara.
“Tidak dinafikan, PLKN juga dapat membantu para peserta membentuk mental dan fizikal yang kuat selain melatih diri untuk kekal berdisiplin sepanjang latihan berlangsung,” katanya yang menyertai PLKN pada tahun 2011.
Sementara itu, Hazreen Kamaruddin, 28, berkata, dia mahu kerajaan mengkaji semula PLKN yang dilihat memberikan sumbangan baik kepada pembentukan generasi muda.
Bagaimanapun, PLKN perlu ditambah baik dengan memperbanyakkan lagi program-program keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing yang dilihat mampu menjadi benteng dalam membendung masalah sosial pada hari ini.
“Suburkanlah semua PLKN kerana saya yakin dan percaya ia tidak akan merugikan negara dalam melahirkan generasi yang mempunyai semangat cintakan tanah air,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati Kem PLKN Batu Jong, Kuala Krai di sini mendapati ia telah dijadikan sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Krai.
Pusat berkenaan menempatkan banduan yang menjalani pemulihan di luar tembok penjara di bawah Program Reintegrasi Penghuni (PRP).
Banduan yang ditempatkan dalam program ini akan menjalani latihan industri di pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan, perindustrian dan perladangan. –UTUSAN ONLINE