Bekas CEO 1MDB tidak hormat – Saksi

Bekas CEO 1MDB tidak hormat – Saksi

NAJIB Razak dikawal ketat ketika menuju ke bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam - UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd. Desa menyifatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai ‘tidak hormat’.

Saksi pendakwaan ke-26 itu mendakwa demikian selepas lelaki berkenaan dan seorang lagi pegawai 1MDB yang dikenali sebagai Zahid tidak memberikan dokumen berkaitan pengurusan 1MDB walaupun telah diminta beberapa kali.

Saksi itu berkata demikian ketika ditanya oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung wakil Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang sepatutnya mengisi 25 peratus kedudukan dalam Ahli Lembaga 1MDB.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan kes 1MDB bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Disoal sama ada beliau ada membuat aduan kepada Najib berhubung perkara berkenaan, Siti Zauyah kata, bukan tempatnya untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun saksi berkenaan menyatakan beliau ada memaklumkan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

Muhammad Shafee: Ada awak maklum kepada Najib?
Siti Zauyah: Saya ada bos saya sendiri.

Muhammad Shafee: Saya faham. Saya pun ada bos di rumah. Tetapi awak tidak boleh buat kesimpulan Najib yang menyebabkan Shahrol (tidak hormat).
Siti Zauyah: Bukan tempat saya (untuk maklum terus kepada Najib).

Muhammad Shafee: Awak tidak menjawab soalan saya.
Siti Zauyah: Sebab saya tidak boleh menjawabnya.

Muhammad Shafee: Ada awak mengadu pada Najib?
Siti Zauyah: Tidak. Tidak secara terus.

Terdahulu, SIti Zauyah menyatakan, 1MDB telah melanggar prosedur apabila tidak menyalurkan cadangan berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) kepada MKD sebelum membuat keputusan.

Jelasnya, cadangan pelaburan itu sepatutnya perlu diberikan kepada menteri terlibat dan dibentangkan kepada Parlimen.

Tambah Siti Zauyah, pelanggaran proses itu berlaku sejak penubuhan 1MDB sehingga beliau bersara pada November 2019.

Sewaktu membaca kenyataan pembukaannya, Pendakwa Raya kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata satu usaha sama palsu antara 1MDB dan Syarikat PetroSaudi International LTD (PSI) yang dikenali sebagai projek Aria diwujudkan tertuduh (Najib) dengan 1MDB meminjam AS$1 bilion, kononnya untuk melabur dalam syarikat usaha sama dikenali 1MDB Petro Saudi Limited.

Wang berkenaan adalah untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat usaha sama yang mana PetroSaudi International memperoleh 60 peratus saham dengan menyuntik beberapa aset melalui nilai diragukan.

Perbicaraan kes itu bersambung 5 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN