Mahkamah Tinggi diberitahu Ahmad Zahid terima SGD$13.56 juta selama 40 bulan

Mahkamah Tinggi diberitahu Ahmad Zahid terima SGD$13.56 juta selama 40 bulan

AHMAD Zahid Hamidi hadir mendengar perbicaraan kes rasuah ke atasnya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZUFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini , hari ini diberitahu sebanyak SGD$13.56 juta diserahkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam tempoh 40 bulan dari Oktober 2014 hingga Mac 2018 di dua lokasi iaitu kediamannya di Country Heights, Kajang dan Seri Satria, Putrajaya.

Penyerahan wang tunai tersebut dipersetujui Syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) yang mengendalikan permohonan visa luar negara (VLN) dan Pusat Sehenti (OSC) di China melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mereka tidak diganggu oleh syarikat lain.

Perkara itu dinyatakan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Mahendran Vrejenan, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd. Yazid Mustafa yang memaklumkan wang tersebut diberikan secara berperingkat bermula SGD$200,000 sebelum ditingkatkan sebanyak dua kali.

Beliau berkata, sebanyak SGD$200,000 diberikan pada  Oktober 2014 hingga Februari tahun berikutnya sebelum ditingkatkan kepada SGD$300,000 pada Mac 2015 hingga Jun 2017. 

Katanya, bayaran tersebut kemungkinan ditingkatkan kali terakhir SGD$520,000 pada Julai 2017 hingga Mac 2018.

Jelas saksi pendakwaan ke-18 itu, pemberian wang dan peningkatan adalah berdasarkan permintaan Ahmad Zahid kepada dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani bagi tujuan sumbangan politik.

“Berdasarkan keterangan Harry Lee dan Wan Quoris, Ahmad Zahid pernah berjumpa mereka beberapa kali di Country Height untuk berbincang tentang perniagaan syarikat dan juga untuk build rapport.

“Dalam perbincangan tersebut, Ahmad Zahid meminta UKSB menghulur bantuan wang sebagai sumbangan politik kepada UMNO. Pada ketika itu, UKSB bersetuju memberi bantuan untuk memastikan perniagaan UKSB tidak diganggu.

“Ketika itu ada beberapa syarikat lain yang cuba melobi kerja yang UKSB jalankan iaitu berkaitan urusan visa,” katanya menerusi kenyataan bertulis.

Mahendran menambah, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun kemudian merekodkan dalam satu lejar berkenaan dengan transaksi pembayaran wang tunai kepada Presiden UMNO itu melalui Microsoft  Excel.

“Dalam lejar tersebut, David Tan menamakan kod nama Ahmad Zahid seperti ‘monster, mon, YB, Young Boy, Z’ dan ZH’,” ujarnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan sama beliau memaklumkan hasil siasatan mendapati wang tunai yang diserahkan kepada bekas Menteri Dalam Negeri itu adalah bukan hasil daripada akaun UKSB berdasarkan penyata kewangan syarikat antara 2014 hingga 2018.

“SPRM mendapatkan penyata kewangan UKSB iaitu Financial Statements and Reports yang menunjukkan bahawa keuntungan selepas cukai UKSB adalah RM625,033 pada 2014, RM114,572 (2015), RM4,913,446 (2016), RM2,821,144 (2017) dan RM351,739 (2018).

“Keuntungan UKSB yang dinyatakan dalam laporan-laporan kewangan tersebut adalah hasil daripada perjanjian syarikat-syarikat Hong Kong dengan UKSB,” jelasnya.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dan diwakili Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wak Keong.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu pula diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan selain Datuk Ahmad Zaidi Zainal serta Hamidi Mohd. Noh.

Ahmad Zahid dalam tujuh pertuduhan didakwa menerima sejumlah wang tunai S$1,150,000; RM3 juta, 15,500 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. 

Dalam 33 pertuduhan lain berjumlah S$13.56 juta, beliau didakwa menerima wang tersebut daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya