Ahmad Zahid mohon seluruh ahli UMNO bertenang -

Ahmad Zahid mohon seluruh ahli UMNO bertenang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO melahirkan rasa dukacita di atas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang menolak rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan wang SRC International Sdn. Bhd.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya merasa amat terkilan kerana proses dan ruang Ahli Parlimen Pekan itu untuk mempertahankan dirinya terutama dalam usaha mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelaan yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

Katanya bagi UMNO sendiri, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Najib sebagai Perdana Menteri yang membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan negara di persada sebelum disuramkan kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang bekas Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14 akan tetap membara.

“UMNO akan terus bersama Datuk Seri Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak dipermangsakan dengan tekanan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Dengan keputusan itu, di akhir prosiding ini, Najib akan mula menjalani hukuman penjaranya berkuat kuasa semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta seluruh ahli UMNO agar perlu bertenang dan tanamkan tekad agar segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan. 

“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN